Utusan Borneo (Sarawak)

Pengambila­n vaksin tambahan kurangkan risiko penyakit ketika tunai haji

-

KUALA LUMPUR: Bakal jemaah digalakkan supaya mengambil suntikan vaksin tambahan iaitu vaksin influenza dan vaksin pneumokoka­l sebagai pilihan sebelum menunaikan haji tahun ini, kata Pakar Anestesiol­ogi Hospital Kemaman, Terengganu Ahmad Nizam Ismail.

Beliau berkata walaupun kedua-dua vaksin itu merupakan pilihan seperti termaktub di dalam Garis Panduan Pemeriksaa­n Kesihatan Bakal Haji Edisi 9, pengambila­n perlu dititikber­atkan kerana vaksin terbabit mampu membantu mengurangk­an risiko jangkitan penyakit salur pernafasan.

Ahmad Nizam yang dilantik Lembaga Tabung Haji (TH) dengan sokongan Kementeria­n Kesihatan (KKM) untuk mengetuai rombongan perubatan haji tahun ini sebagai ketua pakar berkata pada musim haji lepas, penyakit salur pernafasan adalah penyumbang terbesar penyakit yang menyerang jemaah haji.

“Penyakit salur pernafasan seperti jangkitan kuman dan radang paru-paru, secara keseluruha­n menyumbang kepada 60 peratus bagi pesakit luar yang mendapat rawatan di Klinik Maktab TH di Tanah Suci, manakala 49 peratus masalah berkaitan pernafasan ditempatka­n di pusat rawatan TH,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Pada 8 Jan lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kuota jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini sebanyak 31,600 orang jemaah.

Ahmad Nizam berkata jemaah haji yang berusia 50 tahun dan ke atas, perokok dan/atau pengguna rokok elektronik; mempunyai penyakit pernafasan seperti asma atau paru-paru obstruktif; menghidap penyakit diabetes, jantung, buah pinggang, neurologi dan obes digalakkan mengambil kedua-dua vaksin pilihan itu.

Beliau yang telah berkhidmat selama 12 tahun di Jabatan Anestesiol­ogi dan Unit Rawatan Kritikal (ICU) Hospital Kemaman serta 22 tahun berada dalam bidang perubatan berkata dengan penambahba­ikan ujian baharu di dalam garis panduan haji pada tahun ini nyata mampu mengoptimu­mkan jumlah jemaah haji yang diserang penyakit ketika menunaikan haji.

“Di dalam garis panduan itu ada dimasukkan Penilaian Ujian 30 Saat Duduk dan Berdiri yang menguji kekuatan dan daya tahan anggota kaki. Kelulusan diberikan bagi bakal haji yang dapat menyelesai­kan ujian melebihi kadar purata mengikut skala umur dan jantina.

“Begitu juga dengan Penilaian Ujian Masa Berdiri dan Berjalan (TUG) yang menilai kebolehan berjalan dan keseimbang­an. Kelulusan diberikan kepada mereka yang dapat melengkapk­an ujian di bawah 12 saat,” katanya.

Ahmad Nizam yang turut serta menjadi petugas perubatan di Tanah Suci pada musim haji lepas berkata seramai 108 jemaah yang dirujuk ke Hospital Arab Saudi mengalami masalah kesihatan kritikal.

“Rata-rata jemaah kita jatuh sakit akibat masalah pernafasan,” katanya sambil menegaskan jangkitan salur pernafasan penyumbang utama kepada masalah kesihatan jemaah haji.

Sementara itu, Pengurus Kanan Kesihatan Jabatan Haji TH Dr Muhammad Shafiq Samsudin ketika menjadi tetamu Podcast TH Ke Udara bertajuk “Kesihatan dan Kriteria Bakal Jemaah Haji”, baru-baru ini berkata jemaah haji perlu bersiap sedia untuk memenuhi syarat dan kriteria kesihatan yang ditetapkan sebelum menunaikan haji.

Jelas beliau, bakal jemaah haji perlu menjaga tahap kesihatan untuk memenuhi kriteria kesihatan berpanduka­n syarat kerajaan Arab Saudi dan garis panduan yang dikeluarka­n KKM.

“Bagi musim haji 1445/2024, TH mengguna pakai Garis Panduan Pemeriksaa­n Kesihatan Bakal Haji Edisi 9 menggantik­an Garis Panduan Pemeriksaa­n Kesihatan Bakal Haji Edisi Pandemik dan antara perubahan bagi kriteria Indeks Jisim Badan (BMI) adalah tidak melebihi 32.5 dan mempunyai penyakit komorbid tidak terkawal, tidak boleh pergi,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia