Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki bakar studio anime pada 2019 dihukum mati

-

Seorang lelaki Jepun yang dijatuhkan hukuman mati kerana melakukan khianat api ke atas sebuah studio anime dalam kebakaran yang meragut nyawa 36 orang pada 2019, mengatakan dia menerima keputusan mahkamah, menurut laporan media tempatan.

Shinji Aoba, 45, disabitkan bersalah pada Khamis lalu atas kebakaran studio Kyoto Animation, jenayah paling berdarah di Jepun dalam sejarah beberapa dekad.

Pada Jumaat lalu, pasukan pembelaann­ya yang telah menyampaik­an kenyataan tidak bersalah atas alasan masalah mental, merayu keputusan tersebut.

Namun dalam temu bual dengan akhbar Asahi Shimbun yang diterbitka­n lewat kelmarin Aoba berkata: “Saya dengan serius menerima keputusan itu.”

“Saya memilih untuk merayu kerana saya tidak akan dapat membuat kenyataan jika tidak meneruskan (kes mahkamah tersebut),” tambahnya.

Temu bual berlangsun­g sehari selepas hukuman ke atasnya dijatuhkan.

“Sebagai orang yang menyebabka­n insiden itu, saya mahu bercakap sebanyak mungkin semasa prosiding (mahkamah).

“Tetapi ada beberapa perkara lain yang saya mahu tinggalkan sebagai pengajaran buat orang lain,” ujarnya lanjut.

Aoba memecah masuk ke dalam bangunan studio itu dan menyimbah minyak di tingkat bawah, memulakan kebakaran dan melaung ‘matilah’, menurut kenyataan mangsa terselamat.

“Mangsa dijilat api dan asap sekelip mata. Mereka mati dalam keadaan penuh sengsara ketika studio itu bertukar menjadi neraka serta-merta.

“Membakar orang adalah perbuatan yang amat kejam dan tidak berperikem­anusiaan,” kata hakim Keisuke Masuda ketika menjatuhka­n hukuman.

Kebanyakan yang maut dalam kebakaran Julai 2019 itu adalah golongan muda termasuk seorang gadis berusia 21 tahun.

Aoba sendiri mengalami kelecuran pada 90 peratus bahagian badannya dan hanya sedar dari koma beberapa minggu kemudian, dan lama selepas itu baharu dia dapat bercakap.

Aoba percaya studio itu yang dikenali dalam kalangan peminatnya sebagai KyoAni, mencuri ideanya, menurut pendakwa raya, dalam dakwaan yang dinafikan syarikat tersebut.

Jepun antara segelintir negara maju yang masih menjalanka­n hukuman mati mandatori dan setakat Disember, 107 orang masih menunggu giliran mereka. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia