Utusan Borneo (Sarawak)

Kebakaran musnahkan lebih 42,000 ekar hutan di Colombia

-

Kebakaran telah memusnahka­n lebih 42,000 ekar hutan di Colombia sejak November, menurut pihak berkuasa pada Jumaat, ketika negara itu berdepan bulan Januari paling panas dalam sejarah beberapa dekad.

Lebih 340 kebakaran telah direkodkan sepanjang tempoh itu, berpunca daripada kemarau berpanjang­an, haba panas mengatasi rekod dan fenomena cuaca El Nino, menurut Menteri Alam Sekitar Susana Muhamad.

Beliau menambah, setakat ini sejumlah 26 kebakaran masih marak.

Colombia berdepan beberapa kebakaran berhampira­n bandar utama sejak seminggu lalu termasuk beberapa kejadian di kawasan pergununga­n menghadap Bogota dan pihak berkuasa menasihati penduduk yang tinggal berhampira­n agar tidak keluar kerana kualiti udara yang teruk.

“Hari ini kami melihat satu kebakaran di Nevada del Cocuy, taman semula jadi dengan gunung-ganang diselaputi salji kira-kira 250 kilometer timur laut Bogota,” Muhamad memberitah­u dalam sidang media.

Beliau menambah, kebakaran berlaku di bahagian yang agak tinggi justeru helikopter dikerahkan untuk mengawasi situasi.

Salah satu kebakaran tersebut berlaku kira-kira 900 meter dari petempatan El

Paraiso di timur Bogota.

Beberapa penduduk yang terhidu asap telah menerima rawatan, Palang Merah Colombia di Bogota menulis dalam platform media sosial X, sambil memaparkan gambar di mana para pekerja kecemasan membantu seorang lelaki memakai pelitup muka.

Presiden Gustavo Petro minggu lepas mengumumka­n bencana alam, membenarka­n dana diambil daripada bahagian lain belanjawan bagi menampung kos mengawal kebakaran dan merayu bagi bantuan antarabang­sa.

Lapangan terbang antarabang­sa El Dorado di Bogota kembali beroperasi pada Jumaat selepas sekatan pada hari sebelumnya menjejaska­n 138 penerbanga­n.

Bulan ini direkodkan sebagai Januari paling panas sepanjang tempoh 30 tahun, menurut Pengarah Institut Kajian Hidrologi, Meteorolog­i dan Alam Sekitar Ghisliane Echeverry.

Echeverry memberikan amaran Februari akan mengalami suhu lebih tinggi dan hanya pada Mac akan ada hujan membantu mengurangk­an kesan kepanasan ekstrem.

Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada sebahagian kebakaran tersebut angkara khianat dan polis telah menahan 26 suspek atas pelbagai kesalahan berkaitan dengan kebakaran. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia