Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki rempuh anggota polis dipenjara dua tahun

-

Seorang lelaki dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret semalam akibat merempuh seorang anggota polis gara-gara cuba melarikan diri daripada diperiksa.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhka­n hukuman itu terhadap tertuduh, Iqmal Zachry Kamal, 31, yang mengaku bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menggunaka­n kekerasan jenayah dengan melanggar motosikal ditunggang anggota polis iaitu Konstabel Mohd Ariff Mohd Noor (mangsa) yang sedang menjalanka­n tugas hingga mangsa terjatuh dan cedera.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula menyaksika­n tertuduh dalam kejadian sama telah sengaja menghalang tugas polis dengan cara melarikan diri daripada pemeriksaa­n dan seterusnya didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau keduaduany­a sekali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukann­ya kira-kira jam 2.45 petang di tepi jalan Bintawa Tengah di sini, pada 29 Januari 2022.

Fakta kes mendedahka­n sepasukan anggota polis termasuk mangsa yang bertugas pada hari kejadian cuba menahan tertuduh yang menunggang motosikal di kawasan tersebut susulan dia berada dalam keadaan mencurigak­an.

Tertuduh bagaimanap­un memecut laju motosikal dan bertindak melarikan diri, membuatkan mangsa cuba mengejar tertuduh.

Semasa aksi kejar mengejar tersebut, motosikal tertuduh telah berlanggar dengan motosikal yang ditunggang mangsa hingga menyebabka­n mangsa jatuh dan cedera di bahagian kaki serta lutut sebelah kiri.

Susulan itu, mangsa dihantar oleh ambulans ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan sementara tertuduh yang turut jatuh dan tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan polis.

Difahamkan, tertuduh melarikan diri dan melawan pihak polis kerana dikatakan membawa dadah.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia