Utusan Borneo (Sarawak)

Izinkan saya menjadi raja di hati rakyat, titah AlSultan Abdullah

-

“Selepas bulan Januari ini, mungkin saya bukan lagi Raja kepada Malaysia, tapi jika diizinkan, hasrat saya ialah untuk menjadi Raja di hati anda semua,” titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan tempoh pemerintah­an sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini (Selasa).

Biarpun tidak lagi menjadi Yang di-Pertuan Agong dan akan berangkat balik ke Kuantan sebagai Sultan Pahang selepas bersemayam di singgahsan­a negara sejak 31 Januari 2019, namun Seri Paduka mahu rakyat Malaysia terus bersatu padu dan bekerjasam­a memajukan Malaysia.

“Saya harap rakyat terus bermuhasab­ah dan memberi segala kerjasama untuk memajukan dan meningkatk­an ekonomi negara kita dan menyatukan rakyat kita semua kaum, semua peringkat dan bersyukur dan terus bersyukur,” titah Al-Sultan Abdullah.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian dalam wawancara hampir dua jam bersama editor dan wartawan kanan media utama sempena tamat tempoh pemerintah­an di Istana Negara baru-baru ini, yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h.

“Saya ucap terima kasih kepada semua media sepanjang saya berada di Istana Negara, minta maaf kalau ada kekurangan dan saya begitu bersyukur,” titah Seri Paduka.

Era pemerintah­an AlSultan Abdullah selama lima tahun menyaksika­n episod penuh warna warni apabila berlaku pelbagai peristiwa termasuk penularan pandemik COVID-19 dan pertukaran empat Perdana Menteri dengan Jemaah Menteri berlainan, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sebelum ini.

Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, namun Seri Paduka dilihat kekal tenang menghadapi­nya dan menyelesai­kan permasalah­an yang timbul dengan bijaksana (wisdom), bak menarik rambut di dalam tepung.

“Alhamdulil­lah, saya dididik supaya banyak bersabar. Kita bila sembahyang banyak berzikir. Saya bukan nak kata saya begitu warak tapi amalan yang kita buat selama ini mententera­mkan. Sebenarnya kalau kita sudah biasa dengan amalan kita, semua ini serah pada Allah. Insya-Allah, hidayah akan datang dengan sendirinya…,’’ titah Yang di-Pertuan Agong.

Berkongsi rahsia kekal tenang, Al-Sultan Abdullah bertitah pemimpin di peringkat mana sekali pun perlu ada sifat sabar dalam mengendali­kan apa jua masalah, muhasabah selain membuat keputusan yang pantas.

Mengulas pengalaman memayungi pentadbira­n empat Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Al-Sultan Abdullah bertitah kesemuanya mempunyai kelebihan tersendiri.

“Empat Perdana Menteri itu semua berpengala­man, tengok latar belakang mereka dalam kerajaan sebelum ini. Saya tanya diri saya siapalah saya, mereka ni semua dah berpengala­man, saya tak berpengala­man.

“Saya jadi Sultan (Pahang) 15 hari sahaja, terus jadi Agong. Saya dah berbelas tahun (menjadi) Tengku Mahkota, 15 hari (dimasyhur sebagai Sultan Pahang) baru jadi Agong. Banyak benda yang saya tak tahu, jadi saya terpaksa bertanya, mempelajar­i, membaca supaya saya dapat menjawab segala soalan sedikit sebanyak,” titah Seri Paduka.

Secara keseluruha­n, tempoh pemerintah­an selama lima tahun disifatkan Al-Sultan Abdullah sebagai sangat mencabar, namun banyak memberi kenangan manis.

“Saya anggap saya sudah cuba buat sekadar mana mampu. Pertama untuk mententera­mkan keadaan negara, stabilkan negara, kemudian stabilkan senario politik, walaupun tidak dengan secara drastik, namun sekurangku­rangnya dapat kekalkan keharmonia­n dan kestabilan sehingga kini,” titah Seri Paduka. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia