Utusan Borneo (Sarawak)

Bomba pantau lebih 400 titik panas kebakaran seluruh negara

Musim kemarau dijangka bermula bulan depan, kata Nor Hisham

- Datuk Nor Hisham Mohamad Ketua Pengarah JBPM

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi tumpuan terhadap lebih 400 titik panas atau hotspot kebakaran di seluruh negara, susulan musim kemarau yang dijangka berlaku bermula bulan depan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohamad berkata lokasi berkenaan ialah kawasan gambut, tapak pelupusan sampah haram dan tapak pelupusan yang dimiliki dan dioperasi oleh pihak berkuasa tempatan.

“Lokasi yang paling dirisaukan kebakaran ialah kawasan gambut terutamany­a di Selangor, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak, jadi kita akan beri tumpuan kepada lokasi-lokasi hotspot yang telah dikenal pasti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tahunan di Ibu Pejabat JBPM di sini semalam.

Beliau berkata keadaan cuaca kering pada tahun ini turut dijangka lebih teruk berbanding tiga tahun sebelum ini.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai supaya membuat laporan segera kepada JBPM sekiranya mengetahui sebarang maklumat berhubung pihak tidak bertanggun­gjawab yang memulakan kebakaran.

“Kita buat pemantauan melalui sistem juga tetapi pengesanan yang paling penting dan efektif ialah mata manusia … orang ramai boleh melihat, boleh beri maklumat lokasi dan keadaan kebakaran dengan tepat untuk membolehka­n kita bertindak dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, dalam perutusan pertamanya selepas menerajui jabatan berkenaan sejak 9 Jan lepas, Nor Hisham berkata JBPM menyasarka­n penubuhan 300 Pasukan

Bomba Komuniti (PBK) dan tujuh pasukan bomba sukarela (PBS) baharu tahun ini.

Selain itu, katanya JBPM akan terus menggerakk­an inisiatif digitalisa­si dengan lebih agresif melalui pelaksanaa­n dua projek berimpak tinggi pada tahun ini yang melibatkan pemodenan pusat kawalan Command, Control Communicat­ions, Computers and Intelligen­ce (C4iFRDM) dan sistem bersepadu ePREMIS.

Menurut beliau, pelaksanaa­n sistem ePREMIS yang mengintegr­asikan semua fungsi perkhidmat­an teras di Bahagian Keselamata­n Kebakaran memudahkan akses kepada perkhidmat­an antaranya permohonan Perakuan Pepasangan Keselamata­n Kebakaran, Perakuan Keselamata­n Kebakaran, Perakuan Pelesenan Penggunaan Premis dan Perakuan Bomba. — Bernama

Lokasi yang paling dirisaukan kebakaran ialah kawasan gambut terutamany­a di Selangor, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak, jadi kita akan beri tumpuan kepada lokasi-lokasi hotspot yang telah dikenal pasti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia