Utusan Borneo (Sarawak)

Sarjan wanita didakwa terima suapan RM3,000 bagi tutup kes cabul

-

Seorang sarjan polis wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menerima suapan RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap anaknya bagi kesalahan cabul, dua tahun lepas.

Tetuduh, Nur Mastisha Maidinsha, 39, didakwa sebagai penolong pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, telah secara rasuah bersetuju menerima wang berkenaan daripada pengadu.

Bagaimanap­un, Nur Mastisha, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapny­a dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di IPK Kuala Lumpur pada jam 8 malam, 1 Okt 2022.

Peruduhan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias mencadangk­an jaminan RM2,000 berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampira­n.

Nur Mastisha yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia telah digantung kerja selain mempunyai tanggungan dua anak.

Mahkamah kemudian membenarka­n tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan.

Mahkamah turut menetapkan 7 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia