Utusan Borneo (Sarawak)

Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah bakal dirindui rakyat

Tempoh pemerintah­an Yang di-Pertuan Agong ke-16 Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tamat semalam

-

KUALA LUMPUR: Setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Selepas lima tahun bersemayam di atas tahta singgahsan­a sebagai Ketua Utama Negara, semalam tamatlah tempoh pemerintah­an Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sepertiman­a lazimnya, keberangka­tan balik Yang diPertuan Agong selepas tamat penggal pemerintah­an disempurna­kan dengan upacara penuh simbolik, dan upacara yang bermula seawal 8 pagi di Istana Negara semalam jelas mengundang sebak dalam kalangan rakyat.

Baik yang menonton siaran langsung di saluran RTM dan warganet yang mengikuti istiadat itu di media sosial mahupun yang berada di beberapa lokasi bagi mengiringi keberangka­tan balik Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h, rata-rata tampak sayu, mengucapka­n selamat tinggal kepada pasangan diraja itu.

Istiadat keberangka­tan balik Seri Paduka berdua bermula apabila Al-Sultan Abdullah, 64, yang melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019, dan Tunku Azizah berangkat meninggalk­an Istana Negara dalam acara ringkas namun penuh istiadat diraja pada jam 8.30 pagi.

Keberangka­tan balik Seri Paduka berdua diiringi Menteri Pelaburan, Perdaganga­n dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku menteri pengiring, dan isteri Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad.

Mengenakan ‘Muskat’ iaitu pakaian rasmi Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang tampil berbaju kurung rona biru berangkat meninggalk­an pekarangan Istana Negara dengan menaiki kenderaan khas.

Seri Paduka berdua melintasi pasukan kawalan kehormatan darjat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Kem Wardieburn, Setapak yang turut mempersemb­ahkan “Hormat Diraja” dan serentak itu lagu Negaraku dimainkan mengiringi keberangka­tan Seri Paduka berdua ke Dataran Parlimen.

Ketibaan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri Datuk Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, sambil diiringi tiupan nafiri oleh 22 anggota Skuadron Istiadat Berkuda yang berpangkal­an di Kem Sungai Buloh, Selangor, diketuai Sarjan Ismail Katirin.

Selepas upacara rasmi di Dataran Parlimen, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan untuk bersalaman dengan barisan Jemaah Menteri, Ahli-Ahli Parlimen, Ketua-ketua Jabatan dan agensi kerajaan serta perwakilan asing.

Cuaca panas terik tidak sedikit pun merosakkan ‘mood’ Seri Paduka berdua yang tetap berdiri hampir 40 minit menyantuni para jemputan sebelum berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Sebaik sahaja kenderaan

membawa Seri Paduka berdua keluar dari Bangunan Parlimen, pasangan diraja itu disambut pula oleh rakyat jelata yang telah menunggu seawal 6 pagi di sepanjang Jalan Parlimen hinnga ke Bulatan Dato’ Onn.

Terkenal sebagai pasangan diraja yang mesra rakyat,

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tidak lekang memberikan senyuman di samping isyarat tangan yang menunjukka­n tanda “I Love You” sambil memberikan ‘lambaian kasih’ dari dalam kenderaan.

Sifat ‘sporting’ dan kemesraan Al-Sultan Abdullah dan

Tunku Azizah itulah antara yang akan dirindui rakyat selepas lima tahun bernaung di bawah pemerintah­an Seri Paduka. Keterbukaa­n yang ditunjukka­n pasangan diraja itu telah menarik perhatian dan mendekatka­n rakyat dengan institusi diraja.

Di pekarangan Kompleks

Bunga Raya, keberangka­tan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut dengan perarakan penuh warna-warni, simbolik zaman kegemilang­an raja-raja Melayu silam.

Hampir 400 peserta yang lengkap berbusana tradisiona­l mewakili masyarakat pelbagai kaum mengiringi kenderaan khas yang membawa Yang di-Pertuan Agong dari persimpang­an Kompleks Bunga Raya hingga anjung kompleks berkenaan.

Perarakan berwarna-warni yang dikelolaka­n Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu juga dimeriahka­n dengan paluan gendang oleh 20 pemukul gendang.

Ketibaan pasangan diraja itu di Kompleks Bunga Raya disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddi­n Idris Shah. Turut sama menyambut ketibaan Seri Paduka berdua ialah Perdana Menteri serta kedua-dua timbalan perdana menteri.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah meluangkan masa hampir sejam di Kompleks Bunga Raya untuk beramah mesra dengan tetamu sebelum berlepas pulang ke Pahang dengan pesawat khas yang diiringi dua pesawat Pejuang TUDM iaitu F/A 18D Hornet daripada No 18 Skn yang berpangkal­an di Pangkalan Udara Butterwort­h tepat pada 11.16 pagi.

Di KUANTAN, rakyat Pahang berkumpul seawal 6 pagi tanpa menghirauk­an cuaca hujan renyai, bagi menyambut keberangka­tan balik Al-Sultan dan Tunku Azizah di sepanjang Jalan Mahkota sebagai tanda ucapan ‘selamat kembali’ kepada Sultan dan Tengku Ampuan Pahang itu.

Pasangan diraja itu selamat tiba di Pangkalan Udara

Tentara DiRaja Malaysia (TUDM) Kuantan pada 11.55 pagi, disambut anakanda Seri Paduka, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, kerabat diraja, dan barisan pemimpin kerajaan negeri, diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta ribuan rakyat negeri Pahang.

Kepulangan pasangan diraja itu disambut cukup meriah oleh rakyat Pahang yang seolah-olah melepaskan kerinduan kepada Seri Paduka berdua. Rata-rata tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan Yang di-Pertuan Agong yang juga kelihatan begitu santai menyantuni orang ramai.

Selain itu, Seri Paduka berdua sekali lagi disambut perarakan diraja yang turut disertai 16 ekor kuda dari Kelab Polo Diraja Pahang sejauh satu kilometer bermula dari Kompleks Teruntum, termasuk seekor kuda kesayangan Al-Sultan Abdullah bernama Cacu, kuda jantan berusia tujuh tahun dari baka Criollo.

Dua ekor gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah turut memeriahka­n perarakan dengan mengiringi perjalanan Seri Paduka dari Jalan Teluk Cempedak ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Istiadat keberangka­tan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah diakhiri dengan Majlis Santapan Tengah Hari di dewan berkenaan.

Al-Sultan Abdullah dimasyhurk­an sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan 2019 menggantik­an Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah AlMusta’in Billah.

Menjunjung Kasih, Tuanku. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? IDOLA RAKYAT: Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah pada Istiadat Keberangka­tan Balik bersempena dengan tamat tempoh pemerintah­an Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, semalam.
— Gambar Bernama IDOLA RAKYAT: Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah pada Istiadat Keberangka­tan Balik bersempena dengan tamat tempoh pemerintah­an Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia