Utusan Borneo (Sarawak)

Skuad E-Rimau sasar 16 terbaik Piala E-Asia AFC 2023 di Qatar

- — Bernama

Skuad E-Rimau menyasarka­n mara ke peringkat 16 terbaik pada saingan bola sepak elektronik Piala E-Asia AFC 2023, yang julung kali diadakan bermula 1-5 Feb ini di Doha Festival City Mall, Doha, Qatar.

Jurulatih skuad E-Rimau negara, Shaharil Shaifuddin Shaharuddi­n berkata sasaran itu dianggap realistik berdasarka­n prestasi semasa skuad negara ketika menyertai kem latihan pusat.

“Keputusan aksi persahabat­an kita agak baik ketika kem latihan yang dijalankan sebelum ini menentang India dan Vietnam, kedua-duanya kita menang.

“Jadi kita lihat keputusan ini bagi sedikit harapan untuk kita pergi jauh. Untuk permulaan, kita sasar untuk melepasi peringkat kumpulan dulu kemudian barulah kita fokus peringkat-peringkat seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan

Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, sebelum berlepas ke Doha untuk menyertai kejohanan berkenaan dianjurkan oleh Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC) sempena Piala Asia 2023 yang sedang berlangsun­g di Qatar.

Mengulas lanjut, Shaharil Shaifuddin berkata Jordan merupakan pencabar utama bagi anak-anak buahnya pada saingan peringkat kumpulan, namun beliau tidak mahu memandang rendah keupayaan Korea Selatan dan Bahrain.

“Jordan mungkin akan jadi pencabar terkuat kerana mereka mempunyai pemain yang berstatus juara dunia tahun lalu. Tetapi kita sentiasa positif sebab format permainan adalah 2 vs 2 dan bukannya bergantung hanya kepada seorang individu, jadi peluang itu terbuka untuk mana-mana pasukan,” katanya.

Sementara itu, pemain negara Mohamad Nor Haikal Mohamad Noh optimis keputusan positif mampu dicapai bersama pasanganny­a Muhamad Khairul Abdul Aziz memandangk­an mereka sudah lebih lima tahun digandingk­an.

“Saya rasa keserasian kami sudah cukup matang malah baru-baru ini dalam aksi persahabat­an juga kami berjaya menang. Saya harap momentum ini dapat diteruskan supaya dapat pergi ke peringkat yang lebih jauh,” katanya.

Malaysia bakal membuka tirai kempen berdepan Jordan pada 1 Feb dengan perlawanan akan berlangsun­g dengan format timbal balik, sebelum menamatkan aksi kumpulan E bertemu Bahrain dan Korea Selatan pada 2 Feb.

Mengikut format kejohanan, dua pasukan teratas dari kesemua enam kumpulan, bersama empat pasukan terbaik tempat ketiga akan mara ke peringkat kalah mati untuk bersaing bagi merebut kejuaraan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia