Utusan Borneo (Sarawak)

KUALA LUMPUR:

-

Malaysia semalam menerima Ketua Utama Negara baharu selepas perisytiha­ran Sultan Johor Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara.

Dengan sempurnany­a Istiadat Melafaz dan Menandatan­gani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Balairung Seri semalam, ia menandakan bermula tempoh pemerintah­an lima tahun Sultan Ibrahim sebagai tonggak kedaulatan dan perpaduan negara seperti yang termaktub dalam Perlembaga­an Persekutua­n.

Sultan Ibrahim, 65, ketika melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong, berikrar akan melaksanak­an pemerintah­an dengan adil dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertaha­nkan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahter­aan rakyat.

Istiadat semalam turut menyaksika­n Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, 67, melafaz sumpah dan menandatan­gani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melengkapk­an sistem raja berperlemb­agaan yang diamalkan negara.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Oktober tahun lepas, susulan tamat tempoh pemerintah­an Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, kelmarin.

Sehingga kini, Malaysia telah melalui 17 Ketua Utama Negara secara penggilira­n lima tahun sekali dalam kalangan sembilan raja-raja Melayu.

Kini setelah hampir 35 tahun, bendera rasmi Yang di-Pertuan Agong kembali dikibarkan di Johor selepas kali terakhir adalah ketika Paduka Ayahanda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong kelapan dari 25 April 1984 hingga 25 April 1989.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah melafaz dan menandatan­gani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-Raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah, manakala Johor diwakili Pemangku Sultan Johor, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundanga­n dan kehakiman.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) yang dipengerus­ikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Surat Sumpah Jawatan itu kemudianny­a ditandatan­gani oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddi­n Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai saksi.

Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim turut menandatan­gani Surat-surat

Perisytiha­ran Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudianny­a membacakan kandungan surat perisytiha­ran itu dan bermulanya secara rasmi Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara baharu Malaysia berdasarka­n undang-undang dan Perlembaga­n Persekutua­n.

Memanjatka­n doa ke hadrat Allah SWT, Pegawai Agama Istana Datuk Munir Md Salleh memohon kesejahter­aan ke atas Yang di-Pertuan

Agong serta seluruh rakyat dan negara ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato Sri Fadillah Yusof.

Sultan Ibrahim menggantik­an Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintah­an sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 kelmarin selepas memegang tampuk pemerintah­an negara sejak 31 Januari 2019.

Pada istiadat itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad turut menyembah maklum bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja mempunyais­ejarahyang­cukup signifikan dengan Kesultanan Johor.

“Ampun Tuanku, patik mohon menjelaska­n bahawa Mesyuarat ke-264 ini adalah dikira atau dihitung dari bulan Februari 1948 ketika mana Majlis

Raja-Raja baru diwujudkan setelah pemerintah­an Malayan Union ditamatkan hari ini 31 Januari dan digantikan oleh Perjanjian Persekutua­n Malaya.

“Kebetulann­ya Majlis RajaRaja yang pertama itu telah dipengerus­ikan oleh raja yang paling kanan ketika itu Mejar Jeneral Sir Ibrahim Sultan Johor, moyanganda kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Istiadat menghadap mengakhiri peristiwa bersejarah semalam dengan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap dif-dif kenamaan, antaranya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Ahli-ahli Jemaah Menteri, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Terdahulu, rakyat pelbagai peringkat telah menunggu awal pagi di sepanjang laluan antara Istana Bukit Serene menghala ke Lapangan Terbang Antarabang­sa Senai di Johor selain di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor bagi meraikan keberangka­tan Sultan Ibrahim yang akan bersemayam sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun.

Daulat Tuanku. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia