Utusan Borneo (Sarawak)

PM Anwar merafak sembah tahniah Sultan Ibrahim sebagai Agong ke-17

-

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Yang diPertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Sultan Ibrahim semalam melafaz dan menandatan­gani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.

Anwar dalam catatan menerusi laman X turut menitipkan doa kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah serta seluruh Kerabat Diraja.

“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Duli Tuanku.

“Patik dan sekalian rakyat juga mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan semalam ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada Oktober lepas bagi tempoh lima tahun bermula semalam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut merafak sembah tahniah kepada Sultan Ibrahim yang melafaz dan menandatan­gani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau serta seluruh warga kementeria­n mendoakan agar Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sentiasa sihat sejahtera.

“Patik mendoakan, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sentiasa sihat sejahtera dan kekal mentadbir negara dengan penuh kebijaksan­aan demi rakyat tercinta.

“Menjunjung kasih Tuanku. Daulat Tuanku,” katanya dalam catatan menerusi Facebook. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia