Utusan Borneo (Sarawak)

Pencuri muda dipenjara tujuh bulan curi dua kotak peralatan

-

SIBU: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam setelah mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dua kotak peralatan.

Alexson Alex, 22, yang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Flavian Edward Henry, diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 12 Januari lepas.

Berdasarka­n pertuduhan, Alexson dituduh mencuri dua kotak peralatan dari sebuah rumah Lorong 1 Jalan Ai Ding antara 9 Januari 2024, jam 4.30 petang dan 10 Januari 2024, jam 12.30 tengah hari.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 379 kanun yang sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, boleh dikenakan hukuman penjara dan juga denda atau sebatan.

Fakta kes menyatakan, pada 10 Januari 2024 kirakira jam 12.30 tengah hari, ketika pengadu berada di laman rumah bapa mentuanya, dia mendapati besi buruk dan kotak peralatan hilang.

Pengadu kemudian memaklumka­n perkara itu kepada abang iparnya di Kuching yang kemudian menghantar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disambungk­an ke telefon bimbitnya.

Pada 12 Januari 2024, kirakira jam 4 pagi di sebuah rumah di Jalan Belian, pihak polis telah menahan seorang lelaki iaitu tertuduh serta merampas sehelai baju biru, sehelai seluar hitam dan dua unit kotak peralatan.

Siasatan mendapati ayah mentua pengadu telah berpindah ke Kuching sejak Mei 2023 dan rumah tersebut dibiarkan kosong.

Pengadu kemudian dimaklumka­n oleh seorang tukang cuci mengenai pintu belakang rumah yang terbuka.

Dua unit kotak peralatan, mesin pemotong rumput dan besi buruk telah hilang, dengan kerugian dianggarka­n RM1,000.

Siasatan lanjut mendapati, pada 10 Januari 2024 kira-kira jam 12.46 tengah malam, tertuduh didapati berada di tempat kejadian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia