Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki mengaku miliki motosikal curi dipenjara enam bulan

-

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah memiliki sebuah motosikal curi.

Majistret Mason Jaro Lenya Barayan memerintah­kan hukuman penjara terhadap tertuduh, Mahd Taufeq Kalong, 30, untuk dikuatkuas­akan mulai tarikh tangkap.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Lorong Punica 1F, Jalan Matang/Batu Kawa di sini pada 10 November 2023 kira-kira jam 1 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang enam bulan hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarka­n keterangan kes, tertuduh ditangkap polis pada 10 November 2023 bersabit laporan dibuat oleh seorang pengadu lelaki berusia 21 tahun yang menyatakan motosikal miliknya dicuri.

Pada hari tersebut, polis melaksanak­an rondaan cegah jenayah di sekitar jalan berkenaan sebelum terserempa­k dengan sebuah motosikal ditunggang­i seorang lelaki (tertuduh) yang berada dalam keadaan mencurigak­an.

Berikutan itu, polis menahan lelaki tersebut dan melakukan pemeriksaa­n di sistem terhadap nombor pendaftara­n motosikal sekali gus mendapati ia merupakan nombor pendaftara­n palsu.

Polis kemudian memeriksa nombor casis dan mendapati ia selari dengan motosikal milik pengadu dilaporkan hilang.

Semasa tangkapan dibuat juga, polis mendapati motosikal berkenaan berada dalam kawalan tertuduh, malah pengadu turut mengenali motosikal itu sebagai miliknya.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia