Utusan Borneo (Sarawak)

Najib akan dibebaskan pada Ogos 2028

- Dari Muka 1

Najib gagal mengetepik­an sabitan dan hukuman itu selepas Mahkamah Persekutua­n pada 23 Ogos 2022 menolak rayuan akhir beliau dan memerintah­kannya menjalani hukuman penjara berkuat kuasa pada hari sama.

Sebelum itu, Najib memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan, dan mahkamah itu pada 8 Disember 2021 menolak rayuannya, mengekalka­n sabitan dan hukuman penjara berkenaan.

Pada 6 September 2022 pula, bekas Menteri Kewangan itu memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutua­n yang mengekalka­n sabitan dan hukuman terhadapny­a.

Pada 31 Mac 2023, Mahkamah Persekutua­n menolak permohonan­nya itu dan jalan akhir untuk beliau dibebaskan adalah menerusi pengampuna­n Yang di-Pertuan Agong.

Ketika ini, Najib sedang dibicaraka­n bagi kes penyelewen­gan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dan pihak pendakwaan telah memanggil 49 saksi.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga berdepan enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada Internatio­nal Petroleum Investment Company (IPIC) dan kes itu ditetapkan untuk perbicaraa­n pada Jun 2024 di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Beliau juga menghadapi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitka­n dana SRC Internatio­nal Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim K.Muniandy pada 19 Januari lepas berkata, sekiranya pihak pendakwaan tidak dapat meneruskan kes pada 17 September ini, pihak pembelaan bebas untuk memohon perintah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atau dibebas dan dilepaskan (DAA) berikutan representa­si dikemukaka­n Najib. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia