Utusan Borneo (Sarawak)

Penyasaran semula subsidi diesel: KPDN bincang dengan Sabah, Sarawak

-

Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan perbincang­an dengan kerajaan Sabah dan Sarawak sebelum pelaksanaa­n sebarang penyasaran semula subsidi diesel di negeri berkenaan.

Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perbincang­an itu perlu sebagai persiapan untuk menentukan golongan masyarakat yang boleh mendapatka­n subsidi berkenaan sekiranya kerajaan persekutua­n memutuskan penyasaran semula subsidi diesel itu turut diperluas ke Sabah dan Sarawak.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, penyasaran semula subsidi diesel tidak dilaksanak­an di Sabah dan Sarawak setakat ini kerana penggunaan yang tinggi terhadap bahan bakar itu di kedua-dua negeri berkenaan.

“Kerajaan negeri dan agensi penguatkua­saan perlu bersedia untuk melihat komponen atau segmen masyarakat yang boleh dicadangka­n untuk dipertimba­ngkan penyasaran semua subsidi diesel sekiranya dilaksanak­an di Sabah dan Sarawak kelak.

“Kita bersedia lebih awal sekiranya kerajaan memutuskan diperluas ke Sabah dan Sarawak, sekurangny­a-kurangnya kita boleh mengemukak­an cadangan kepada kerajaan Persekutua­n mana-mana segmen masyarakat dengan penggunaan (diesel) tinggi, kita syorkan (subsidi) dengan mekanisme tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini semalam sempena dengan pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di seluruh negara bagi sambutan Tahun Baharu Cina yang berkuat kuasa 6 hingga 14 Februari ini.

Kelmarin, Armizan berkata projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bagi Sektor Pengangkut­an Darat (Barangan), akan diadakan selama dua bulan bermula semalam bagi menyediaka­n mekanisme penyasaran semula subsidi diesel, dijangka dilaksana pada suku kedua tahun ini di Semenanjun­g.

Sehubungan itu, Armizan berkata kementeria­nnya juga memerlukan kerjasama daripada semua agensi penguatkua­saan termasuk kerajaan negeri untuk bersama-sama memperkema­s mekanisme kawalan dan penguatkua­saan supaya aktiviti haram penyeludup­an diesel di Sabah dan Sarawak dapat dikekang.

“Tidak ada gunanya kita teruskan subsidi yang tinggi tetapi akhirnya subsidi itu mengalir keluar dan bukannya dinikmati oleh rakyat, golongan sasar tetapi diseludup di sempadan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia