Utusan Borneo (Sarawak)

Elak daftar PADU saat akhir, sistem akan sesak: Mohd Uzir

-

Rakyat Malaysia khususnya golongan yang celik teknologi dinasihatk­an agar tidak melakukan pendaftara­n Pangkalan Data Utama (PADU) pada saat-saat akhir kerana ia akan mengakibat­kan aliran trafik sistem itu sesak, kata Ketua Perangkawa­n Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, berdasarka­n jumlah rekod pengemaski­nian maklumat individu terkini dalam sistem berkenaan, pihaknya mendapati lebih ramai warga emas yang telah berdaftar dengan PADU berbanding anak muda yang cenderung menguasai dunia teknologi.

“Kita lihat trend ini mungkin sebab untuk kalangan warga emas di kawasan pedalaman yang tidak celik teknologi contohnya, kita bantu mereka secara bersemuka untuk daftar PADU dan program ini mendapat sambutan yang baik.

“Namun, untuk rakyat

Malaysia lain yang boleh mendaftar sendiri, mereka fikir mereka masih ada masa hingga 31 Mac. Jadi, saya berharap mereka boleh terus daftar sekarang kerana sistem ini seperti lebuh raya, kalau semua masuk pada saat akhir memang akan sesak,” katanya kepada pemberita selepas melawat reruai PADU pada Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata melihat kepada tahap kesedaran rakyat Malaysia di negeri ini serta komitmen kerajaan negeri yang tinggi untuk menjayakan inisiatif berkenaan, Sarawak mampu menjadi antara yang terawal menyelesai­kan pengemaski­nian PADU sebelum 31 Mac ini.

“Buat masa ini, Sarawak negeri kedua tertinggi pendaftara­n iaitu 310,000 orang... jadi, dengan kerjasama antara agensi kerajaan negeri dan wakil rakyat, saya jangkakan usaha untuk mengemas kini profil sosial ekonomi rakyat di Sarawak dapat kita selesaikan selewat-lewatnya pada 30 Mac,” katanya.

Setakat kelmarin, jumlah rekod pengemaski­nian maklumat individu adalah sebanyak 2.38 juta orang daripada 30.08 juta rekod individu dalam sistem PADU berdasarka­n sumber data pentadbira­n.

Pendaftara­n PADU dibuka kepada orang ramai bermula 2 Januari lepas hingga 31 Mac ini dan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahka­n 30 butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

Sistem berkenaan dibangunka­n melalui kepakaran dalaman Kementeria­n Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancanga­n Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementeria­n, agensi serta kerajaan negeri. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia