Utusan Borneo (Sarawak)

Bangunan baharu JPJ Limbang bernilai RM23j dijangka dibina tahun ini

-

Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) Limbang bakal mempunyai bangunan pejabat baru berkonsepk­an moden dan terkini bernilai RM23 juta yang akan dibina di kawasan Bandar Baru Limbang tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkut­an Datuk Hasbi Habibollah berkata, bangunan baharu itu akan dibina di tapak seluas 2.3 hektar merangkumi komponen bangunan pejabat dan kuarters untuk pegawai dan kakitangan.

Katanya, pada masa ini projek berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk peringkat reka bentuk selewatnya Mac ini dan dijangka dapat dibina dalam tahun ini.

“Projek telahpun diluluskan dan diharap akan dimulakan dalam tahun ini dan sudah diserah kepada JKR untuk proses reka bentuk yang lebih moden dan terkini selewatnya Mac ini.

“Kita memerlukan bangunan JPJ ini sebab kita berjiran dengan negara Brunei dan sudah pastinya kita ingin melihat bangunan JPJ canggih dan terbaharu yang tersergam indah, merangkumi komponen bangunan pejabat dan kuarters,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak bangunan pejabat JPJ Limbang baharu di kawasan Bandar Baru Limbang di sini, kelmarin.

Jelas Ahli Parlimen Limbang itu lagi, pembinaan bangunan pejabat baru itu amat dinanti-nantikan memandangk­an jabatan itu terpaksa beroperasi dengan menyewa bangunan kedai di bandar ini sejak sekian lama.

Beliau berkata, Bandar Baru Limbang bakal dijadikan sebagai pusat pentadbira­n utama di daerah ini melalui pelan pembanguna­n yang dilaksanak­an bagi menempatka­n pejabat baharu kerajaan persekutua­n secara berpusat di kawasan itu.

“Kerajaan sedang membangunk­an kawasan itu dengan menempatka­n kompleks pejabat kerajaan persekutua­n, kuarters kerajaan dan bangunan komersial.

“Pada masa ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu serta Masjid Jannatul Firdaus Bahagian Limbang sudah siap dibina di kawasan tersebut,” ujarnya lagi.

 ?? ?? BINCANG: Hasbi (dua kiri) pada lawatan tapak projek bangunan pejabat JPJ baharu di kawasan Bandar Baru Limbang kelmarin.
BINCANG: Hasbi (dua kiri) pada lawatan tapak projek bangunan pejabat JPJ baharu di kawasan Bandar Baru Limbang kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia