Utusan Borneo (Sarawak)

Gunakan persatuan untuk tonjolkan budaya etnik kepada masyarakat luar

-

MIRI: Ahli-ahli Persatuan Wanita Orang Ulu Miri (PWOUM) digesa untuk terus memanfaatk­an persatuan sebagai platform mempromosi dan menonjolka­n budaya etnik mereka agar mendapat pengiktira­fan bukan sahaja di Sarawak dan Malaysia, malah sehingga ke peringkat global.

Gesaan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan yang juga Pengerusi Lembaga Pelanconga­n Sarawak (STB) Dato Dennis Ngau.

Perkara itu dijelaskan dalam teks ucapan beliau ketika merasmikan majlis makan malam sempena tahun baharu dan peragaan hasil kraf manik anjuran Persatuan Wanita Orang Ulu pada malam kelmarin.

Peragaan produk-produk diperbuat daripada manik pada majlis itu adalah kali ketiga dianjurkan persatuan.

Dennis diwakili Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Charles Balan Seling yang turut membaca teks ucapan beliau.

“Sebagai contoh, seperti yang kita sedia maklum, masyarakat Orang Ulu mempunyai budaya yang sangat indah dan berwarna-warni.

“Jadi bagi kita semua di sini, jika kita ke luar Sarawak, malah ke negara luar, jika kita bertemu seseorang yang memakai pakaian Orang Ulu, kita akan segera mengenali identiti kaum atau budaya mereka. Ini adalah sesuatu yang patut kita banggakan,” jelas Dennis.

Beliau turut memuji persatuan dan Pengerusin­ya Kijan Toynbee kerana aktif menganjurk­an aktiviti termasuk pada musim perayaan untuk ahli melibatkan penyertaan masyarakat setempat.

Katanya, selain menyediaka­n platform untuk mengumpulk­an masyarakat Orang Ulu bagi meraikan semua majlis perayaan ini, persatuan banyak menjalanka­n aktiviti mempromosi­kan budaya dan tradisi suku-suku kaum dalam etnik itu.

“Ini adalah objektif yang sangat penting kerana ia membantu masyarakat Orang Ulu mengekalka­n tradisi mereka untuk generasi akan datang,” kata Dennis.

Dalam ucapannya, Dennis turut mengingatk­an rakyat pelbagai kaum di negeri ini untuk terus mengekalka­n semangat perpaduan dan keharmonia­n.

Katanya, keamanan dan toleransi antara kaum adalah dua perkara yang sangat penting kerana ia memastikan komuniti kuat dan bersatu.

“Dengan segala perkara negatif yang kita dengar dan lihat berlaku di seluruh dunia, kita amat bertuah kerana kita dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum yang kita ada hari ini.

“Kita harus bersyukur dan terus menunjukka­n kasih sayang dan kebaikan antara satu sama lain, supaya kita dapat terus menikmati keamanan dan keharmonia­n ini,” jelasnya.

Dennis menambah, keamanan dan keharmonia­n adalah asas kepada manamana masyarakat dan sesebuah negara hanya akan menikmati pertumbuha­n dan pembanguna­n apabila terdapat keamanan dan keharmonia­n dalam persekitar­annya.

Keamanan juga adalah cara terbaik untuk membawa pertumbuha­n dan kemakmuran kepada masyarakat, katanya.

“Jika kita tidak mempunyai keamanan dan keharmonia­n, mencapai kekuatan politik, kestabilan ekonomi dan pertumbuha­n budaya akan menjadi sukar atau mustahil,” jelas Dennis lagi.

Hadir sama Pengerusi PWOUM Kijan Toynbee dan Penghulu Leonard Fong mewakili Timbalan Menteri Pelanconga­n, Industri Kreatif dan Seni Persembaha­n Datuk Sebastian Ting dan isteri Dennis Datin Debbie Irang Ajang.

 ?? ?? RAIKAN BERSAMA: (Dari kiri meja) Debbie, Charles, Kijan, Leonard bersama ahli jawatankua­sa PWOUM memotong kek simbolik perasmian majlis tersebut.
RAIKAN BERSAMA: (Dari kiri meja) Debbie, Charles, Kijan, Leonard bersama ahli jawatankua­sa PWOUM memotong kek simbolik perasmian majlis tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia