Utusan Borneo (Sarawak)

Berpendiri­an tegas, Sultan Ibrahim pemangkin penyatuan rakyat

-

Kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang dikenali sebagai raja yang berpendiri­an tegas dan berani, mampu menjadi pemangkin penting dalam memperkuku­h perpaduan dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata Seri Paduka Baginda sebagai penaung utama negara, diyakini mampu menjadi tonggak kestabilan perpaduan rakyat, sekali gus memadam api perkauman yang boleh menggugat keharmonia­n antara kaum.

Seri Paduka Baginda yang berpendiri­an tegas juga akan menjadi benteng penghalang usaha pihak tertentu, terutama yang ingin mencapai matlamat politik mereka dengan memainkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

“Ketegasan itu boleh dilihat menerusi titah-titah Sultan Ibrahim sebelum ini yang antaranya memberi amaran kepada pihak yang mencuba sebarang usaha untuk memecahbel­ahkan jambatan perpaduan Bangsa Johor.

“Seperti di Johor, pernah ada isu perkauman dan salah faham, tetapi ketegasan Sultan Ibrahim yang berperanan sebagai penaung negeri, menjadi pemadam api perkauman dan menitahkan supaya ia diselesaik­an segera,” katanya kepada Bernama di sini.

Sehubungan itu, beliau percaya peranan itu akan terus dimainkan oleh Seri Paduka Baginda dalam memastikan isu seperti 3R dapat dihentikan sebelum ia menjadi marak.

Ling berkata Seri Paduka Baginda yang sering mencemar duli berangkat bagi meraikan pelbagai sambutan perayaan ketika bergelar

Sultan Johor, menjadi ikon perpaduan kepada rakyat di negeri itu.

“Contohnya, Tuanku hadir Festival Chingay yang merupakan antara sambutan terbesar di dalam negeri bagi kaum Tionghua, begitu juga Deepavali Tuanku berangkat dan memberi contoh terbaik,” katanya.

Menurut Ling, titah-titah Sultan Ibrahim berkenaan perpaduan juga telah mencetus kepada wujudnya Duta Perpaduan Johor dan Jawatankua­sa Harmoni Negeri Johor.

Duta Perpaduan Johor telah melahirkan 300 generasi muda daripada setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan persatuan belia di negeri itu yang berperanan menjadi jurucakap kerajaan negeri dalam menyampaik­an mesej-mesej perpaduan kepada orang ramai.

Jawatankua­sa Harmoni pula terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan pemimpin daripada setiap agama termasuk Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh, berperanan dalam berkongsi pandangan serta menangkis segala isu keagamaan dan sebagainya.

Justeru, beliau mengharapk­an Malaysia akan terus harmoni dan rakyat bersatu padu dalam membangunk­an negara di bawah naungan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu.

Sultan Ibrahim diisytihar­kan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari.

Seri Paduka Baginda menggantik­an Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan tempoh pemerintah­an pada 30 Januari lepas. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? WAWANCARA: Ling ketika diwawancar­a Bernama di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar baru-baru ini.
— Gambar Bernama WAWANCARA: Ling ketika diwawancar­a Bernama di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia