Utusan Borneo (Sarawak)

Adik-beradik bunuh penyanyi rap Canserbero dipenjara 25 tahun

-

Sepasang adikberadi­k lelaki dan perempuan dituduh membunuh Canserbero, seorang penyanyi Venezuela yang pernah dinamakan sebagai penyanyi rap bahasa Sepanyol terbaik oleh Rolling Stone, telah dijatuhkan hukuman penjara sehingga 25 tahun, kata peguam bela Tarek William Saab kelmarin.

Tyrone Gonzalez, atau lebih dikenali sebagai Canserbero, meninggal dunia pada 2015 ketika berusia 26 tahun dalam kejadian jatuh dari tingkat 10 sebuah bangunan apartmen di Maracay di utara Venezuela.

Pada masa itu penyiasat memutuskan dia telah melakukan tindakan bunuh diri selepas membunuh temannya Carlos Molnar dalam satu pergaduhan.

Namun kes itu dibuka semula pada tahun lepas, dan pada Disember, Saab menunjukka­n kepada wartawan pengakuan rakaman video oleh adik-beradik Natalia dan Guillermo Amestica.

Dalam salah satu video, Natalia Amestica menyatakan dia telah memberikan dadah kepada Canserbero dan Molnar – yang merupakan suaminya – kemudian menikan mereka.

Adik lelakinya kemudian membantu menutupi jenayah tersebut, mengadakan satu pergaduhan dan menolak tubuh Canserbero dari sebuah tingkap, menurut pengakuan yang dirakamkan.

Saab berkata perbalahan mengenai wang telah membawa kepada berlakunya jenayah itu.

Pada Jumaat, mahkamah menjatuhka­n hukuman penjara selama 25 tahun terhadap kedua-duanya, kata beliau dalam televisyen negara.

Rakan subahat mereka juga akan didakwa, katanya menerusi platform X.

Pejabat peguam negara turut mengemukak­an waran tangkap terhadap beberapa anggota polis yang berada di tempat kejadian, menuduh mereka menerima wang daripada adik-beradik itu bagi menutupi jenayah tersebut.

Beberapa waran turut dikemukaka­n terhadap seorang ahli patologi forensik dan dua penyiasat dari pejabat pendakwa raya yang terlibat dalam siasatan.

Lagu terkenal Canserbero adalah termasuk “Mundo de Piedra” dan “Es Epico”. Rolling Stone telah menobatkan­nya sebagai penyanyi rap bahasa Sepanyol terbaik pada 2015, tahun ketika dia dibunuh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia