Utusan Borneo (Sarawak)

Maritim Malaysia tahan bot Vietnam ceroboh perairan negara

-

Dua bot nelayan asing yang leka mengaut hasil laut negara menerima padah setelah tindakan itu dikesan oleh Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 210 batu nautika Barat Laut Mukah semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Zin Azman Md Yunus berkata, aktiviti haram dua Bot Nelayan Asing Vietnam (BNAV) itu dikesan Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV1) sekitar jam 10.45 pagi hingga 11.15 pagi.

“Ini merupakan tangkapan sulung dibuat pasukan OPV1 di mana kedua-dua BNAV didapati sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan negara. Hasil kejayaan tangkapan ini, Maritim Malaysia menganggar­kan hasil tangkapan ikan bernilai lebih RM3 juta berjaya diselamatk­an dari dicuri oleh nelayan asing,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Zin, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

Selain itu, kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerka­n sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Sementara itu, Zin menjelaska­n, kedua-dua BNAV terbabit dibawa ke jeti Maritim Negeri Sarawak.

“Kapal warga asing itu dijangka tiba pada 6 Februari untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau menegaskan, berikutan kejayaan tangkapan itu, Maritim Negeri Sarawak akan meningkatk­an rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Ia bertujuan mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim di kawasan perairan Sarawak,” tambahnya.

Dalam perkembang­an berkaitan, ujarnya orang ramai perlu memberi kerjasama dengan menyalurka­n sebarang maklumat berkaitan salah laku jenayah yang berlaku di perairan negara.

“Orang ramai boleh memaklumka­n ke Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera,” katanya.

 ?? — Maritim Malaysia ?? PANTAS: Kapal OPV1 berjaya mengesan tindakan dua bot nelayan asing mengaut hasil negara di kedudukan 210 batu nautika Barat Laut Mukah, semalam.
— Maritim Malaysia PANTAS: Kapal OPV1 berjaya mengesan tindakan dua bot nelayan asing mengaut hasil negara di kedudukan 210 batu nautika Barat Laut Mukah, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia