Ding agih kad tahun baharu 2024, buah limau mandarin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing bersama kakitangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong telah mengagihkan kad tahun baharu 2024 dan buah limau mandarin di sekitar pekan Bintangor, semalam.
Ding berkata, program itu adalah aktiviti tahunan beliau bersama kakitangan Pusat Khidmat setiap kali menjelang perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).
“Hingga kini dianggarkan lebih 500 kad bersama ratusan buah limau mandarin telah berjaya diagihkan kepada penduduk.
“Program ini adalah salah satu pendekatan pihak kita untuk menambah lagi kemeriahan dan merancakkan lagi bahang sambutan Tahun Baharu Cina di kawasan ini.
“Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk pihak kita mendekati masyarakat di peringkat akar umbi,” kata Ding.
Beliau berkata demikian kepada media sejurus selesai mengagihkan kad tahun baharu 2024 dan buah limau mandarin dekat sini, semalam.
Menurut Ding, program itu turut dijayakan bersama ahli-ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor.
“Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan di samping memperkukuhkanperpaduan kaum dalam kalangan masyarakat khususnya di daerah Meradong.
“Kita berharap sambutan TBC pada tahun ini akan lebih meriah lagi dan semangat perpaduan kaum di kalangan semua rakyat Sarawak akan terus kukuh,” ujar Ding.
Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor ChiengBuongOng,Bendahari SUPP Cawangan Bintangor Lee Ngin Soon, Ketua Pemuda SUPP Cawangan Bintangor Ley Chee Hua serta beberapa ketua masyarakat setempat.