Utusan Borneo (Sarawak)

Kuota 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan perlu dihapuskan: Nancy

- — Bernama

Kira-kira 42 peratus wanita kini terlibat sebagai pembuat keputusan dalam sektor perkhidmat­an awam, justeru kuota 30 peratus yang ditetapkan kerajaan sebelum ini perlu dihapuskan.

Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ketika ini, ramai wanita mempunyai kelayakan dari segi pengalaman dan akademik untuk berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki sebagai pembuat keputusan di pelbagai peringkat perkhidmat­an.

“Sebab itu kita tidak sepatutnya ada (had) siling...kalau dari segi 30 peratus itu, kita sudah capai 42 peratus dalam sektor awam, jadi kalau kita nak letak 50 peratus atau sebagainya, kita tidak perlu ada had lagi...kita tidak perlu wujudkan sebarang siling,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Laman Wanita (LaWa) Negeri Bersejarah bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Antarabang­sa 2024 di LaWa Jasin di sini semalam.

Nancy mengulas mengenai saranan bekas Menteri

Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz dalam satu program audio siar baru-baru ini supaya kuota 30 peratus wanita dimansuhka­n dan kaum hawa diterima sebagai pembuat keputusan berdasarka­n merit.

Sementara itu, dalam ucapannya, Nancy berkata kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh menunjukka­n peningkata­n saban tahun iaitu 55.3 peratus pada 2020, 55.5 peratus (2021), 55.8 peratus (2022) dan 55.9 peratus (2023).

Justeru, katanya inisiatif disediakan LaWa dapat meningkatk­an penyertaan wanita dalam ekonomi melalui penyediaan program kemahiran bagi membantu wanita menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga mereka, sekali gus dapat membantu negara meningkatk­an kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh.

“Peningkata­n penyertaan wanita dalam tenaga buruh ini dijangka dapat diteruskan menerusi penyediaan persekitar­an ekonomi yang kondusif dan mesra wanita,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia