Utusan Borneo (Sarawak)

SPRM tahan dua ketua jabatan di Melaka disyaki kemuka tuntutan palsu

-

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua ketua jabatan Persekutua­n, masing-masing seorang lelaki dan wanita serta seorang pengarah syarikat di Melaka kerana disyaki mengemukak­an tuntutan palsu berkaitan program anjuran jabatan dan perpindaha­n pada 2023.

Menurut sumber, suspek lelaki dipercayai menggunaka­n dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran program jabatan pada 2023 berjumlah kira-kira RM24,900.

“Suspek dipercayai menjadi perancang utama dan berpakat dengan pengarah syarikat terbabit untuk menggunaka­n invois yang mengandung­i butir palsu iaitu tuntutan pembekalan sedangkan pembekalan itu tidak pernah dilaksanak­an bagi program yang dianjurkan tahun lepas.

“Seorang lagi suspek (wanita) membuat tuntutan palsu berkaitan perpindaha­n berjumlah kira-kira RM6,000 kepada jabatannya,” katanya sambil menambah kesemua suspek ditahan di Pejabat SPRM Melaka pada 2.30 petang semalam ketika memberi keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad mengesahka­n penahanan suspek terbabit dan tidak menolak kemungkina­n akan memanggil beberapa penjawat awam kedua-dua jabatan untuk memberi keterangan.

Beliau turut menyatakan kebimbanga­n kerana ketua jabatan sepatutnya berpegang kepada prinsip amanah dan akauntabil­iti dalam membersihk­an jabatan mereka daripada sebarang perlakuan rasuah serta salah guna kuasa dan bukannya menjadi “duri dalam daging” di jabatan masing-masing.

Mohd Shahril berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapatka­n kebenaran permohonan reman. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia