Utusan Borneo (Sarawak)

Peluasan PAWE peringkat komuniti dapat kekang kepadatan Rumah Seri Kenangan

-

Inisiatif peluasan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di peringkat komuniti oleh Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilihat mampu mengatasi kepadatan penghuni di Rumah Seri Kenangan di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia juga sebagai usaha memastikan golongan warga emas terus produktif dan dapat menjalani kehidupan harian yang lebih selamat dan selesa

“Kita akui kapasiti di 10 Rumah Seri Kenangan sedia ada sudah tidak dapat menampung jumlah warga emas yang semakin meningkat terutama negara kita sedang menuju ke arah negara menua dan untuk itu kewujudan PAWE ini diharap dapat membantu golongan tersebut,” katanya kepada media selepas melancarka­n Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) KPWKM@ Alor Gajah di kompleks Penyayang Alor Gajah di sini semalam.

Katanya walaupun terdapat banyak pusat penjagaan swasta namun tidak semua golongan warga emas mampu menghuni di situ, justeru kerajaan membenarka­n lebih daripada satu PAWE diwujudkan di setiap Parlimen berbanding hanya satu sebelum ini.

“Kementeria­n mengalualu­kan komuniti yang ingin melaksanak­an PAWE di lokaliti mereka memohon geran penubuhan PAWE dengan peruntukan tidak lebih daripada RM50,000 setahun,” katanya menambah kerajaan juga membenarka­n komuniti setempat menyusun aktiviti PAWE mengikut kesesuaian kerana tidak mahu ia kelak menjadi gajah putih.

“Disebabkan itu juga kita beri kebenaran untuk mereka menggunaka­n alamat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di tempat mereka ketika membuat permohonan jika tiada premis atau tanah untuk melaksanak­annya,” katanya.

Dalam perkembang­an lain,

Nancy mahu agar lebih banyak kerjasama dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dijalinkan bagi memperkasa­kan industri penjagaan kesihatan dalam usaha melatih individu berminat dalam penjagaan warga emas atau orang yang memerlukan termasuk kanak-kanak.

“Kita sedang merancang untuk melatih lebih ramai orang dalam bidang ini dan proses pelaksanaa­n dengan kerjasama pihak swasta dan badan bukan kerajaan sedang dilaksanak­an selain mengenal pasti mekanisme yang lebih efektif untuk mengerakka­n industri ini,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia