Utusan Borneo (Sarawak)

Tidak wajar jadikan cadangan Kampung Baru Cina Tapak UNESCO isu perkauman, kata Amirudin

-

Cadangan mencalonka­n Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan BangsaBang­sa Bersatu (UNESCO), tidak wajar untuk dijadikan sebagai isu perkauman, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata perkara itu yang masih berada di peringkat cadangan adalah tidak ‘sihat’ untuk dimainkan sebagai isu, kerana dilihat sebagai satu perkara yang tidak memberikan sebarang manfaat kepada keharmonia­n masyarakat dalam negara yang berbilang kaum.

“... kita tengok (cadangan pewartaan) tidaklah semua, tetapi kalau ada kampung yang sudah berusia ratusan tahun sudah pasti kita akan mewartakan, seperti mana kita wartakan Geopark Hulu Langat dan sebahagian daripada kawasan Gombak-Hulu Langat Geopark itu, termasuk juga kawasan kampung-kampung Melayu.

“... kalau kita tengok Geopark, termasuk di dalam jajarannya ialah Kampung Kuang, Kampung Kundang, termasuk di kawasan Selayang, Batu Caves dan beberapa kawasan lagi, termasuk juga Kampung Kemensah itu semua digazet di bawah Geopark kebangsaan dan langkah seterusnya ialah menjadi warisan UNESCO.

“... itu semua telah dilakukan lama sebelum ini, tetapi ia tidak dilihat sebagai satu benda yang bermanfaat, sebab dalam fikiran mereka apa isu yang boleh gunakan untuk kepentinga­n politik jangka pendek, yang tidak membawa manfaat kepada keharmonia­n dan kestabilan kaum dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Perikatan Nasional Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang mempersoal­kan cadangan berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Pembanguna­n Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sedang merangka rancangan untuk mencalonka­n Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, bagi mengiktira­f kepentinga­n budaya dan sejarah penempatan itu.

Sementara itu, mengulas mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddi­n Idris Shah agar 50 peratus ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dianggotai golongan profesiona­l Amirudin berkata pihaknya akan bekerja keras bagi memastikan perkara itu dapat dicapai.

“Kita akan kerja keras untuk memenuhi harapan dizahirkan oleh Tuanku, pada masa yang sama, kita juga menetapkan sekarang ini supaya sebahagian besar pada peringkat awal cuba mencapai 50 peratus perwakilan merupakan graduan diploma dan lebih tinggi,” katanya.

Pada majlis semalam beliau menyaksika­n majlis menandatan­gani Memorandum Persefaham­an (MoU) antara Celcom-Digi Bhd dan Majlis Perbandara­n Ampang Jaya (MPAJ), selain turut melancarka­n Pusat Konvensyen MPAJ dan Pelancaran Warden lalu lintas MPAJ. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia