Utusan Borneo (Sarawak)

Sultan Nazrin rasmi Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB

-

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi (KWKK) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A’fifullah Shah dan Raja Di Hilir Raja Iskandar Dzurkarnai­n Sultan Idris A’fifullah Shah.

Keberangka­tan tiba baginda berdua pada jam 10.15 pagi disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Dzulkefly dalam sembah ucapannya berkata dengan wujudnya KWKK, HRPB menjadi antara tiga hospital terbesar di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata hospital berkenaan mempunyai kapasiti 1,394 katil, 22 dewan bedah, 33 katil unit rawatan rapi dewasa.

Katanya ia turut dilengkapi 10 katil unit rawatan jantung, 12 katil Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) dan 24 katil unit rawatan neonatal.

“Kompleks ini dibina dengan kos sebanyak RM237 juta di atas tapak yang berkeluasa­n 14,671 meter persegi di bawah peruntukan RMK10.

“Ini merupakan satu peruntukan yang besar dalam perbelanja­an sebuah hospital bagi memastikan perkhidmat­an kesihatan dapat dilaksanak­an secara optimum kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya dan negeri Perak khususnya,” katanya.

Dzulkefly berkata kompleks tersebut menawarkan perkhidmat­an kesihatan daripada tiga jabatan utama iaitu Jabatan Kardiologi, Jabatan Pediatrik dan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi yang dilengkapi dengan kemudahan sebanyak 404 buah katil, enam dewan bedah dan 304 lot parkir untuk kegunaan kakitangan dan orang awam.

Selain itu, katanya kompleks itu juga menyediaka­n tiga perkhidmat­an sokongan iaitu perkhidmat­an Radiologi, Farmasi dan Unit Bekalan Bahan Steril bagi menyokong kelangsung­an penyediaan perkhidmat­an di bangunan tersebut. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TERTARIK: Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan melihat pameran ketika berangkat menyempurn­akan majlis perasmian Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi (KWKK) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh semalam. Hadir sama Dr Dzulkefly.
— Gambar Bernama TERTARIK: Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan melihat pameran ketika berangkat menyempurn­akan majlis perasmian Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi (KWKK) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh semalam. Hadir sama Dr Dzulkefly.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia