Utusan Borneo (Sarawak)

Dakwaan Tun Taib dilarikan adalah tidak benar: KPN

-

Dakwaan bahawa bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dilarikan adalah tidak benar, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata, hal ini kerana keberadaan Tun Taib diketahui ahli keluarga, adik-beradik, peguam dan doktor serta jururawat yang merawat beliau di hospital.

“Pihak polis ada terima laporan media berhubung perkara ini daripada ahli keluarga tetapi bukan daripada CP (Pesuruhaja­ya Polis Sarawak), Pengarah JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) dan IGP (Ketua Polis Negara).

“Laporan-laporan itu kami ambil dan siasat, namun ia tidak benar seperti yang dilaporkan mengatakan TYT (Tuan Yang Terutama) Abdul Taib diculik atau dilarikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ops Selamat 21 dan Perasmian VSP 2.0 sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Persada PLUS, Subang di sini semalam.

“Bagaimanap­un, dakwaan beliau diculik adalah tidak berasas kerana keberadaan beliau (Abdul Taib) kini di rumah.

“Fakta-fakta yang dilaporkan oleh media mengenai Abdul Taib sebelum ini perlu dibetulkan kembali dan hanya kenyataan rasmi polis boleh dikeluarka­n berhubung maklumat kes berkenaan,” katanya dan menambah polis masih menjalanka­n siasatan kes itu.

Pada Isnin lepas, Pesuruhjay­a Polis Sarawak Dato Mancha Ata dilapor telah menerima laporan tentang kejadian mendakwa Tun Taib dibawa keluar dari sebuah hospital swasta.

Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang boleh membahayak­an nyawa atau keselamata­n orang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia