Utusan Borneo (Sarawak)

ADUN Batu Lintang tidak sertai SUPP, sekadar mesra GPS: Dr Sim

-

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyangkal dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan sebaliknya menyifatka­n See mesra dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dr Sim yang juga presiden SUPP menyatakan demikian ketika ditanya media mengenai kehadiran See pada Majlis Makan Malam Bersama Media anjuran Dr Sim di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam kelmarin.

See yang dilihat berada di majlis tersebut, meluangkan masa sebentar bersama Dr Sim serta tetamu kehormat lain sebelum beredar.

Sehubungan itu, Dr Sim menjelaska­n bahawa See telah bekerjasam­a dengan GPS serta Premier dalam beberapa projek.

“Saya menjemput YB See untuk datang dan menyertai makan malam ini kerana jika tidak, beliau akan tinggal sendirian.

“Beliau juga akan menyertai kami sebagai sebahagian daripada jawatankua­sa penganjur untuk Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina yang akan diadakan oleh Kerajaan Sarawak tahun ini,” katanya.

Ketika ditanya sama ada See telah mengemukak­an permohonan­nya untuk menyertai SUPP, Dr Sim menyatakan tidak.

“Beliau tidak menyertai parti saya, beliau bersama dengan GPS.

“Saya rasa penting untuk melihat lebih daripada itu supaya DUN Batu Lintang terus mendapat pembanguna­n berikutan terdapat isu seperti banjir kilat dan sebagainya dan semua perkara itu memerlukan peruntukan yang banyak,” katanya.

Dr Sim juga diminta untuk mengulas mengenai kemungkina­n SUPP ‘membuka pintu’ kepada See, memandangk­an kedua-duanya telah bekerja dan berkongsi masa bersama.

“Pihak kami (SUPP) sentiasa ‘membuka pintu’ untuk semua orang. Tetapi sesetengah orang memilih untuk tidak menyertai (kami).

“Saya tidak boleh berkata apa-apa. Bahkan sesetengah orang meninggalk­an parti dan memilih untuk tidak kembali,” katanya.

Untuk rekod, See terus berkhidmat kepada pengundiny­a sebagai wakil rakyat Bebas selepas meletakkan jawatan daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 14 Ogos 2022.

Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak Kho Teck Wan, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, ADUN Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap dan Pengerusi Majlis Perbandara­n Padawan (MPP) Tan Kai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia