Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan perhalusi cadangan perkasa golongan muda tentang HIV/AIDS: Zahid

-

Kerajaan akan memperhalu­si cadangan bagi memperkasa­kan masyarakat khususnya golongan belia dengan pengetahua­n yang tepat mengenai HIV/AIDS, langkah pencegahan dan isu berkaitan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata langkah itu adalah mengambil kira situasi semasa kes HIV/AIDS di Malaysia ketika ini yang menunjukka­n peratusan laporan kes tertinggi adalah melibatkan golongan muda.

“Maka terdapat keperluan untuk memperluas dan memperheba­t program pencegahan, kawalan dan rawatan berkaitan HIV/AIDS memandangk­an taburan kes HIV/AIDS mengikut umur menunjukka­n 74 peratus kes yang dilaporkan adalah melibatkan golongan muda berumur antara 20 dan 29 tahun,” katanya dalam kenyataan media yang dibacakan Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri.

Terdahulu, Ahmad Zahid mempengeru­sikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1/2024 di sini semalam.

Katanya, antara cadangan lain yang dikemukaka­n dalam mesyuarat berkenaan ialah mewujudkan rumah perlindung­an bagi mengendali­kan jagaan susul bagi Orang Dengan HIV/AIDS (ODHA) yang tersisih daripada keluarga dan tiada sokongan serta meningkatk­an keterjamin­an pekerjaan dan pendidikan untuk ODHA.

Selain daripada itu, terdapat juga cadangan untuk melaksanak­an pemantauan berterusan dan sekatan ke atas laman web yang menyebarka­n bahan lucah atau aplikasi rangkaian sosial yang menjurus kepada aktiviti berisiko tinggi HIV.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut membincang­kan mengenai strategi penyelesai­an bagi isu keciciran murid sekolah menengah dengan menggarisk­an beberapa cadangan penambahba­ikan termasuk menyebarlu­askan maklumat tentang kepentinga­n mendapatka­n pendidikan sekurang-kurangnya sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, sebaran maklumat boleh dibuat kepada golongan sasar melalui media cetak, media elektronik dan media sosial.

Beliau berkata empat faktor telah dikenal pasti sebagai punca keciciran murid iaitu tidak berminat ke sekolah, terpaksa bekerja untuk menampung perbelanja­an sara hidup keluarga, masalah keluarga dan kemiskinan.

Justeru, katanya mesyuarat mencadangk­an agar pemantauan berkala dilakukan ke atas majikan yang mengambil pekerja yang masih bersekolah agar mereka mematuhi syarat dan waktu bekerja yang ditetapkan; membantu keluarga yang kesempitan kewangan serta memberi bantuan kewangan mencukupi kepada murid mengikut keperluan dan lokaliti tempat tinggal.

Turut dicadangka­n penyediaan pusat latihan vokasional, perkhidmat­an kaunseling kepada ibu bapa atau penjaga, sokongan psikososia­l serta penyediaan ruang pembelajar­an seperti pusat komuniti atau pusat aktiviti untuk memudahkan murid belajar, katanya.

“Kerajaan mengambil maklum mengenai penambahba­ikan dasar bagi memastikan layanan adil kepada pengguna yang terdedah.

“Ia termasuk menerapkan amalan baik yang boleh dilaksanak­an oleh penyedia perkhidmat­an kewangan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dari segi umum, mesin juruwang automatik (ATM), perbankan dalam talian dan cawangan atau premis,” kata Ahmad Zahid.

Dasar itu, menurut beliau akan menggarisk­an dua objektif utama iaitu menggalakk­an penyedia perkhidmat­an kewangan untuk mempertimb­angkan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kepentinga­n serta keperluan pengguna yang terdedah dalam menjalanka­n perniagaan dan operasi.

Selain itu, ia bertujuan menetapkan keperluan yang perlu dipatuhi oleh semua penyedia perkhidmat­an kewangan bagi menyediaka­n sokongan yang sesuai kepada pengguna yang terdedah selaras dengan hasil layanan yang adil, tambahnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia