Utusan Borneo (Sarawak)

Dua cedera ditembak di gereja paderi selebriti Texas

-

HOUSTON: Dua orang termasuk seorang budak lelaki berusia lima tahun tercedera selepas seorang wanita melepaskan tembakan di gereja utama paderi selebriti tempatan Joel Osteen di Houston, Texas, salah satu tapak keagamaan terbesar di Amerika Syarikat (AS), kata polis kelmarin.

Wanita itu bersenjata­kan selaras senapang patah ketika masuk ke dalam gereja bukan denominasi Kristian itu bersama seorang kanak-kanak sejurus sebelum jam 2 petang waktu tempatan, ketua polis Houston Troy Finner memberitah­u sidang media.

Sebaik tiba di gereja yang dibina di tapak bekas arena sukan yang diubah suai dan boleh menempatka­n kirakira 16,800 orang, suspek mula melepaskan tembakan, namun anggota polis tidak bertugas yang bekerja sebagai pengawal keselamata­n di tempat kejadian segera menembak balas menyebabka­n suspek terbunuh sertamerta.

“Seorang budak berusia lima tahun telah terkena tembakan dan berada dalam keadaan kritikal di hospital tempatan kami,” kata Finner, sementara seorang lelaki berusia 50-an yang dipercayai tiada sebarang kaitan dengan suspek, telah menerima rawatan akibat cedera di kaki kerana ditembak.

“Ketika saya memasuki santuari saya melihat orang berlari dan berkata, ‘mereka menembak, mereka sedang menembak’, dan kami dapat mendengar bunyi tembakan,” seorang saksi memberitah­u stesen televisyen tempatan KHOU.

“Kami cuba untuk membuka beberapa pintu di laluan tengah namun ia telah dikunci.

“Beberapa orang keluar dan masuk ke dalam kereta mereka, namun segelintir seperti saya tidak tahu ke mana untuk pergi.”

Seorang sukarelawa­n gereja menyembuny­ikan mereka di dalam tandas, meletakkan beberapa perabot bagi menghadang pintu serta memberikan amaran agar mereka tidak bergerak, kata beliau.

“Terdapat kanak-kanak di tingkat tiga dan empat, ibu bapa berasa bimbang mengenai anak-anak mereka.

“Kami hanya mampu berdoa kepada Tuhan,” tambah beliau.

Kejadian tembakan beramai-ramai biasa berlaku di AS di mana terdapat lebih banyak senjata berbanding penduduk dan kira-kira satu pertiga golongan dewasa memiliki senjata api.

Tinjauan menunjukka­n majoriti rakyat AS memihak kepada peraturan senjata yang lebih tegas, namun pelobi senjata yang berkuasa serta pengundi yang diarahkan menyokong budaya bagi hak memiliki senjata beberapa kali menghalang anggota perundanga­n mengambil tindakan.

Osteen, yang mana acara sembahyang­nya disiarkan secara langsung kepada berjuta-juta orang setiap minggu dan cuba untuk menjadikan gerejanya sebagai tidak berminat dengan politik, menyatakan beliau berasa sedih dan kebingunga­n dengan serangan itu.

Kejadian bermula antara waktu sembahyang, hanya sebelum permulaan sesi sembahyang berbahasa Sepanyol, menurut lelaki berusia 60 tahun itu, sambil menambah: “Saya hanya dapat membayangk­an sekiranya ia berlaku ketika sesi sembahyang jam 11 pagi, kami bersyukur kepada Tuhan untuk itu.”

“Kami tidak faham kenapa perkara ini berlaku, namun kami tahu Tuhan yang mengawalny­a.

“Terdapat kuasa kejahatan namun kuasa itu adalah untuk kami, kuasa Tuhan, adalah lebih kuat daripada itu,” beliau memberitah­u dalam satu sidang media, sambil menambah bahawa dia akan berdoa untuk para mangsa termasuk untuk penembak itu. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia