Utusan Borneo (Sarawak)

Rebut peluang perbaiki status pematuhan cukai melalui PKPS 2.0 berakhir 31 Mei

-

Lembaga HASiL Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyeru pembayar cukai untuk merebut peluang memperbaik­i status pematuhan cukai melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang akan berakhir pada 31 Mei 2024.

Menurut satu kenyataan pihaknya semalam, sehingga 31 Januari 2024, HASiL telah menerima sebanyak 64,748 kes pengakuan sukarela daripada pembayar cukai baharu dan sedia ada.

“PKPS 2.0 yang bermula pada 6 Jun 2023, merupakan inisiatif HASiL untuk memberi peluang kepada pembayar cukai tampil secara sukarela melaporkan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat dan teratur selaras dengan ketetapan HASiL.

“HASiL juga memberi jaminan bahawa segala pelaporan yang diterima di bawah PKPS 2.0 akan diterima secara suci hati dengan sifar penalti.

“Tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan pada masa akan datang bagi tahun-tahun taksiran yang terlibat dengan PKPS 2.0,” katanya.

PKPS 2.0 tersebut dibuka kepada semua kategori pembayar cukai kecuali bagi kategori fail majikan melibatkan pelaporan pendapatan yang tidak pernah dilaporkan atau kurang dilaporkan, perbelanja­an atau tuntutan lain yang terlebih tuntut atau tidak dibenarkan, pelepasan atau potongan atau rebat terlebih tuntut dan elaun modal atau insentif yang terlebih tuntut, tambahnya.

PKPS 2.0 ini juga boleh disertai oleh mereka yang ingin melaporkan pelupusan aset dan ingin membuat penyeteman dokumen atau perjanjian yang tidak disetem dalam tempoh yang dibenarkan.

Selepas tempoh ini, HASiL akan melaksanak­an aktiviti pematuhan cukai mengikut Rangka Kerja Audit Cukai yang berkuat kuasa.

Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas tentang PKPS 2.0, sila hubungi kami menerusi: HASiL Contact Centre (HCC) di talian 038911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);HASiL Live Chat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia