Utusan Borneo (Sarawak)

Pekerja ladang warga Myanmar maut dalam pergaduhan

-

Seorang pekerja ladang warga Myanmar maut selepas terlibat dalam pergaduhan dengan rakan senegarany­a di sebuah ladang tembikai di Kuala Ketil dekat sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Kyuk Sikay, 36, manakala rakannya yang mengalami kecederaan telah melarikan diri.

Beliau berkata, pada malam kejadian pengurus ladang yang tinggal di Pokok Sena telah menerima pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang pekerja memaklumka­n mengenai pergaduhan itu namun hanya didengari kira-kira 7 pagi sebelum membuat laporan polis setelah mengetahui ada pekerjanya yang terkorban.

“Siasatan lanjut mendapati lokasi kejadian adalah di kawasan tempat pembuangan sampah sawit di ladang terbabit dan tiada kamera pengawasan dipasang di situ.

“Terdapat dua khemah didirikan di ladang berkenaan bagi menempatka­n 12 pekerja ladang dan mangsa yang maut dijumpai pada jarak 500 meter dari khemah dalam keadaan terbaring di dalam lubang tempat pembuangan sampah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pemeriksaa­n awal pada badan mangsa mendapati terdapat tujuh kesan tikaman di bahagian hadapan dada dan satu kesan tikaman di bahagian rusuk kiri yang dianggarka­n satu hingga empat sentimeter.

“Siasatan lanjut pihak forensik mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang kecederaan luaran lain dan mangsa dianggarka­n telah mati dalam tempoh 24 jam dan unit anjing pengesan telah bertindak melakukan pencarian (suspek),” katanya.

Shamsudin berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Star untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita telah menggerakk­an pasukan untuk mengesan dan menangkap suspek malah pemeriksaa­n turut dilakukan di kawasan sekitar dan klinik kesihatan berhampira­n bagi mengesan suspek dan pekerja lain yang melarikan diri.

“Pengurus ladang terbabit turut ditahan kerana mengambil pekerja warga asing tanpa permit mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia