Utusan Borneo (Sarawak)

Pesawat terhempas: Kedua-dua mangsa maut akibat pelbagai kecederaan

-

KLANG: Bedah siasat terhadap dua mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Kapar kelmarin mendapati punca kematian mereka disebabkan pelbagai kecederaan pada anggota badan akibat nahas pesawat.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata, bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa nahas iaitu juruterban­g Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dan pembantu juruterban­g Roshaan Singh Raina, 43, selesai pada jam 12.15 tengah hari semalam.

“Hasil bedah siasat yang bermula jam 10 pagi mendapati punca kematian akibat multiple injuries due to plane crash, pemeriksaa­n cap jari juga mengesahka­n mangsa merupakan Daniel Yee dan Roshaan Singh.

“Waris kedua-dua mangsa telah dihubungi untuk proses serahan mayat mangsa dan pihak polis bekerjasam­a dalam urusan penghantar­an mayat ini ke lokasi yang ditetapkan oleh keluarga kelak,” katanya dalam sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini semalam.

Dalam pada itu, Vijaya Rao berkata pihaknya telah merakam lima keterangan saksi berhubung nahas berkenaan yang berlaku di sebuah ladang kelapa sawit di Kapar.

“Kelima-lima individu ini melihat kejadian berkenaan dan keterangan mereka dirakam bagi membantu siasatan,” katanya.

Mengenai kotak hitam pesawat terbabit, Vijaya Rao berkata perkara itu disiasat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara.

Pesawat dikendalik­an Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1.28 tengah hari untuk penerbanga­n rekreasi sebelum dilaporkan terhempas pada jam 1.45 tengah hari. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia