Utusan Borneo (Sarawak)

Polis kenal pasti pemilik tiga akaun media sosial kes ugutan Nik Elin

-

KUALA LUMPUR: Polis telah mengenal pasti identiti pemilik tiga akaun media sosial yang dipercayai mempunyai kaitan berhubung ugutan terhadap peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ia susulan kerjasama yang dilakukan bersama Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengenal pasti pemilik akaun sosial media terbabit.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpuna­n Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam,

Allaudeen berkata Nik Elin Zurina membuat tiga laporan pada Ogos tahun lepas dan pihak polis membuka tiga kertas siasatan.

“Satu kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) beberapa minggu lepas untuk mendapatka­n arahan lanjut, manakala dua lagi masih dalam siasatan dan akan dilengkapk­an dalam masa terdekat.

“DPP telah memberi arahan tertentu. Belum ada sebarang tangkapan dilakukan ketika ini. Belum ada dakwaan,” katanya.

Pada Sabtu, Nik Elin Zurina memaklumka­n menerima beberapa ugutan bunuh.

Ahad lepas, polis mengesahka­n menerima tiga laporan daripada Nik Elin Zurina berhubung ugutan terhadapny­a susulan tindakanny­a mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Allaudeen dilaporkan berkata tiga laporan itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengenai siasatan berhubung kebakaran lima unit rumah di Flat Sri Sabah, Cheras, beliau berkata polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah dan siasatan lanjut diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia