Utusan Borneo (Sarawak)

Kapal karam di Kuala Kemena, lapan kru terselamat

-

Sebuah kapal bernama Bos Azlina karam setelah dimasuki air namun kesemua lapan kru lelaki termasuk juragan warga Indonesia berumur 31 hingga 48 tahun selamat dalam kejadian di perairan laut sembilan batu nautika dari barat laut Kuala Kemena di sini, pagi kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kapten Maritim Mohd Iszuadi Muhamad Hassan berkata, Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menerima isyarat kecemasan dari kapal terbabit semasa bot Kilat 44 dalam rutin rondaan di sekitar perairan Bintulu pada jam 11.56 pagi pada hari kejadian.

Katanya, maklumat awal yang diterima aset maritim melalui isyarat kecemasan radio frekuensi sangat tinggi (VHF) berkenaan insiden kapal Bos Azlina yang hampir karam.

“Separuh kapal terbabit ditenggela­mi air dan terdapat lapan kru termasuk juragan, kesemuanya lelaki warga Indonesia berumur dalam lingkungan 31 hingga 48 tahun dalam kapal tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, bot Kilat 44 terus melaporkan insiden itu kepada Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Bintulu seterusnya memaklumka­n kejadian itu kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching.

“Bot Kilat 44 bergegas memberi bantuan ke atas kapal tersebut sejurus laporan dibuat,” jelasnya.

Pada masa sama katanya, kru terbabit menjelaska­n telah menghubung­i teksi air Kuda Laut 1 untuk membantu menyelamat kesemua kru yang mana berjaya dikeluarka­n dari dalam kapal tersebut sekitar jam 12.30 tengah hari.

“Operasi menyelamat oleh teksi air tersebut turut dipantau oleh Maritim Malaysia,” katanya.

Begitupun katanya, kapal tersebut tidak dapat diselamatk­an susulan air memasuki kapal tanpa kawalan mengakibat­kan tenggelam sepenuhnya setelah hampir satu jam.

“Punca kejadian masih disiasat manakala ejen kapal tersebut telah dihubungi dan akan mengambil tindakan bagi membantu mangsa,” katanya.

Justeru katanya, orang ramai khususnya komuniti maritim dinasihatk­an agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut terutamany­a ketika monsun timur laut dan sentiasa mengutamak­an keselamata­n dengan memakai jaket keselamata­n ketika di laut.

“Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurka­n kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia