Utusan Borneo (Sarawak)

Elak ketagihan pornografi: Ibu bapa perlu terbuka didik anak tentang seks

-

KUALA LUMPUR: Ketagihan pornografi mungkin berlaku disebabkan pendidikan seks di peringkat awal tidak didedahkan oleh ibu bapa kepada anak mereka yang berada dalam fasa ingin tahu, kata Prof Madya Dr Noor Azimah Muhammad.

Pakar Perubatan Keluarga dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata golongan ibu bapa perlu bersikap lebih terbuka dalam mendidik mengenai seks bagi mengurangk­an potensi anak mereka mencari maklumat menerusi bahan pornografi.

“Bercakap dengan anak mengenai apa itu seks, apa perkara boleh dan tidak boleh. Bagi umat Islam, ibu bapa beritahu apa perkara yang dilarang...kerana jika mereka ini dididik dari awal, insya-Allah mereka akan faham (tentang seks).

“Masalah yang timbul, saya rasa kerana pendidikan (mengenai seks antara ibu bapa dan anak) itu tidak berlaku (dalam kehidupan berkeluarg­a) dan kita hanya bergantung kepada sekolah,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia siaran Bernama TV, semalam.

Beliau turut menasihati ibu bapa untuk melakukan pemantauan secara berterusan terhadap anak-anak mereka terutama dalam penggunaan Internet memandangk­an akses untuk mendapatka­n bahan pornografi amat mudah sekarang ini.

“Walaupun anak sudah masuk sekolah menengah atau kolej, pemantauan ini perlu dilakukan pada bilabila masa...apabila ibu bapa pegang telefon anak, anda dibenarkan untuk memeriksa bila-bila masa kerana anak-anak terutama remaja mudah guna Internet atau mengakses untuk tengok pornografi.

“Mereka mempunyai sifat ingin tahu sebab tidak tahu apa itu seks. Jadi, kalau dalam kebanyakan rumah di Malaysia, ibu bapa tidak bercakap tentang seks, jadi di mana lagi mereka (anak-anak) boleh mendapatka­n maklumat itu selain melalui Internet,” kata Dr Noor Azimah.

Mengenai topik ‘Semua Orang Boleh Berdakwah?’ dalam program sama, Pensyarah Kanan Jabatan Dakwah dan Pembanguna­n Insan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Dr Nur Shahidah Paad berkata semua pihak perlu sentiasa merujuk kepada pakar dalam bidang keagamaan sebelum menyampaik­an dakwah masing-masing.

Beliau berkata walaupun sesiapa sahaja boleh berdakwah dengan ilmu yang ada, namun pada masa sama mereka perlu berusaha belajar daripada pihak lebih pakar bagi menambah ilmu agama sedia ada, terutama melibatkan al-Quran dan hadis. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia