Utusan Borneo (Sarawak)

Nadal akui belum bersedia untuk kembali beraksi di Terbuka Qatar

-

Rafael Nadal pada Rabu terpaksa mengubah pelan untuk kembali beraksi di Terbuka Qatar minggu hadapan apabila mengakui dia ‘tidak bersedia untuk bersaing’.

Jaguh tenis berusia 37 tahun itu tidak beraksi untuk hampir sepanjang tahun lepas kerana kecederaan pinggul yang dialaminya di Terbuka Australia sebelum membuat kepulangan pada kejohanan Antarabang­sa Brisbane awal tahun ini.

Bagaimanap­un, satu kecederaan kecil kemudian memaksa bintang tenis dari Sepanyol itu menarik diri dari kejohanan Grand Slam Terbuka Australia.

Pemenang 22 kejuaraan Grand Slam itu sekarang berharap untuk kembali beraksi pada kejohanan Siri Master Indian Wells di California dari 6 hingga 17 Mac.

“Saya sememangny­a mahu bermain di Doha, di mana penganjur dan juga peminat tenis di Qatar sentiasa memberikan sokongan kepada saya,” kata Nadal di laman X.

“Malangnya, saya belum bersedia untuk bersaing dan saya tidak akan dapat datang ke Doha di mana saya benarbenar mahu pergi dan bermain sekali lagi.

“Saya akan meneruskan fokus untuk membuat persediaan untuk ke kejohanan Indian Wells.”

Nama Nadal tersenarai dalam penyertaan ke Terbuka Qatar, yang akan bermula dari 19 Februari dan dia pernah muncul juara di sana pada 2014.

Pada awal hari yang sama, bekas pemain nombor satu dunia itu mengakui dia mengalami “rasa tidak selesa sejak beberapa minggu yang lalu”.

“Ketika ini, saya menerima segala kekecewaan, setiap kecederaan bukan hanya dalam sukan tenis memberi kesan kepada fizikal dan mental anda,” katanya.

Dia menambah: “Saya yakin sepenuhnya akan pergi ke Indian Wells, ia satu kejohanan yang sangat istimewa bagi saya. Saya tidak tahu jika ia mungkin kali terakhir saya bermain, jadi saya mahu berada di Indian Wells, itu yang pasti.”

Nadal menegaskan bahawa “keutamaann­ya ialah untuk cuba beraksi di permukaan tanah liat dengan secergas yang dia mampu, untuk sekurangku­rangnya memberikan saya peluang menikmati mungkin apa yang merupakan musim terakhir saya” dalam permukaan yang dikuasai sepanjang kariernya.

Dia memenangi satu rekod 14 kejuaraan Terbuka Perancis dan memiliki rekod 112-3 di Roland Garros.

Nadal menang dua perlawanan di Brisbane pada bulan Januari selepas setahun tidak beraksi tetapi merasai kesakitan di pahanya ketika tewas di suku akhir kejohanan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia