Utusan Borneo (Sarawak)

TASEK GELUGOR:

-

Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dijangka dijenamaka­n semula menjelang suku kedua tahun ini, dengan melibatkan perubahan pada nama dan fungsinya, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, Kementeria­n Komunikasi melihat penjenamaa­n baharu itu perlu dibuat, berdasarka­n kepada pengalaman dan pengamatan di lapangan yang mendapati orang ramai hadir ke PEDi untuk pelbagai aktiviti yang tidak melibatkan ekonomi digital.

Menurut beliau, ramai yang datang ke PEDi untuk mendapatka­n pelbagai maklumat, antaranya mengenai geran, bantuan serta perkhidmat­an kerajaan, dan ada juga PEDi yang turut melaksanak­an fungsi sebagai pejabat pos.

“Bukan sekadar tukar nama, tetapi tukar fungsi sekali, sebab kita nampak contoh, pendaftara­n PADU (sistem Pangkalan Data Utama)... ia dari satu sudut bukan ekonomi digital, (tetapi) ia memanfaatk­an prasarana yang ada, untuk akhirnya memberi bantuan kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PEDi Taman Gelugor Indah di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementeria­n Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementeria­n Komunikasi Nik Kamaruzama­n Nik Husin, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Ketua Bahagian Koordinasi Negeri Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Bukhari Yahya.

Fahmi berkata, PEDi sebagai antara pusat yang penting dalam komuniti boleh memainkan peranan lebih bersifat sebaran maklumat kepada rakyat, selain menjadi pusat pembelajar­an melibatkan aktiviti kecerdasan buatan (AI) untuk rakyat.

“Jadi saya nampak ada potensi untuk kembang luaskan (PEDi) dan kami juga ambil maklum perdana menteri umum sewaktu sidang PEDi pada 29 November lalu bahawa dengan peningkata­n elaun bagi para pengurus, mereka juga perlu tambah kerja.

“Jadi itulah antara sebab kami buat penjajaran baharu untuk PEDi memandangk­an fungsi yang kami nampak boleh dimainkan terutama untuk membantu masyarakat mendapatka­n maklumat lebih tepat mengenai dasar kerajaan, bantuan yang boleh mereka terima, selain perkhidmat­an lain,” katanya.

Beliau berkata, cadangan bagi penjenamaa­n semula PEDi itu dijangka akan mengambil masa untuk dilaksanak­an pada suku kedua tahun ini kerana terdapat sesetengah PEDi yang dalam proses penambahba­ikan serta pembinaan.

Sementara itu, berkenaan lawatan kerjanya semalam, Fahmi berkata kelajuan Internet bagi PEDi berkenaan telah mencecah 300mbps dan ia banyak membantu terutama untuk aktiviti pembelajar­an dalam talian serta usahawan melibatkan kelas digital dan pemasaran.

Katanya, setakat ini terdapat 186 PEDi baharu yang dalam proses untuk dibangunka­n, manakala 80 peratus PEDi sedia ada mempunyai kelajuan 100mbps ke atas.

“Saya difahamkan ada enam PEDi yang telah mula memanfaatk­an Starlink (perkhidmat­an Internet satelit Starlink) yang kelajuanny­a mencecah 300mbps, ini terutama bagi PEDi di kawasan pedalaman.

“Jadi ada 20 peratus lagi daripada 911 PEDi yang kelajuanny­a kurang daripada 100mbps dan antara ikhtiar kami adalah meningkatk­an kelajuan PEDi ini,” katanya.

Fahmi berkata, semalam beliau juga melihat PEDi berkenaan telah dimanfaatk­an untuk mendaftar 1,542 orang dalam sistem PADU.

Menurutnya, terdapat 911 PEDi di seluruh negara tetapi tidak semua PEDi yang dapat dilengkapk­an dengan kehadiran pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia