Utusan Borneo (Sarawak)

Dua tentera Afrika Selatan terbunuh dalam misi DR Congo

-

JOHANNESBU­RG: Dua anggota tentera Afrika Selatan terkorban dalam serangan mortar di Republik Demokratik (DR) Congo, kata pihak tentera kelmarin, kematian pertama dari pasukan tentera yang dikerahkan bagi membantu meleraikan ketegangan.

Mengumumka­n kematian itu, pihak tentera Afrika Selatan berkata tiga anggota tentera lain tercedera dalam insiden pada Rabu berhampira­n bandar timur Goma.

“Sebiji bom mortar jatuh di dalam salah satu pangkalan tentera kontinjen Afrika Selatan yang menyebabka­n kematian dan kecederaan kepada anggota tentera SANDF,” kata Pasukan Pertahanan Negara Afrika Selatan.

“Akibat bedilan secara rambang ini, pihak SANDF telah mengalami dua kematian dan tiga anggota mengalami kecederaan,” tambah kenyataan itu.

Mangsa yang tercedera telah dibawa ke hospital berhampira­n di Goma, ibu negeri bagi wilayah Kivu Utara yang bergolak.

Kematian menandakan korban nyawa pertama bagi Afrika Selatan sejak ia mula mengerahka­n 2,900 tenteranya di DR Congo pada pertengaha­n Disember.

Anggota tentera telah dihantar sebagai sebahagian daripada pasukan tentera wilayah selatan Afrika, yang turut termasuk anggota tentera dari Malawi dan Tanzania, ditugaskan membantu pasukan tentera kerajaan DR Congo menentang pemberonta­k M23.

Kerajaan DR Congo berkata ia “berasa kesal” atas kematian itu dan menuduh “tentera Rwanda dan M23” membedil pangkalan Afrika Selatan.

Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa berkata kematian perlu diambil kira apabila terlibat dalam misi di luar negara.

“Sudah pastinya, dalam mana-mana situasi konflik, ya, terdapat mereka yang akan tumpas,” kata Ramaphosa dalam ucapan kepada parlimen.

Kumpulan M23 yang kebanyakan­nya penduduk Tutsi telah merampas beberapa kawasan luas di Kivu Utara sejak bangkit semula pada lewat 2021. Wilayah itu telah dibelenggu oleh keganasan sejak beberapa dekad selepas peperangan wilayah pada 1990-an.

Pertempura­n semakin tegang sejak beberapa hari lepas di sekitar pekan strategik Sake, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Goma.

DR Congo, Majlis Keselamata­n Pertubuhan BangsaBang­sa Bersatu dan negara-negara Barat menuduh Rwanda menyokong pemberonta­k dalam usahanya untuk mengawal sumber mineral yang luas di wilayah ini, satu tuduhan yang dinafikan oleh Kigali. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia