Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada lagi banjir kilat di Batu Kawa apabila siap saluran sungai di bawah RTB negeri: Dr Sim

-

Banjir kilat di Kuching khususnya Batu Kawa dijangka tidak akan berlaku lagi apabila siapnya saluran sungai sebagai sebahagian daripada projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) negeri.

Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, saluran yang bermula di kawasan Batu Kawa itu dirancang untuk melepasi Sungai Sarawak dan terus ke Laut China Selatan.

“Ini adalah projek yang sangat kritikal dan akan melibatkan (kos) lebih RM1 bilion,” kata Dr Sim ketika ditemui di Dewan R-Piang di Kampung Sinar Budi Baru petang kelmarin.

Menurutnya, setakat ini hanya tiga kilometer daripada keseluruha­n 11 kilometer saluran itu telah siap semasa Allahyarha­m Pehin Sri Adenan Satem menjadi Menteri Bertanggun­gjawab di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau juga berkata, projek yang merupakan projek senarai serentak itu telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu dan telah disemak serta diberikan persetujua­n oleh Kerajaan Perpaduan sekarang.

“Saya gembira kerajaan sedia ada menyedari keperluan mendesak projek itu kerana ia bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada penduduk di Batu Kawa, tetapi juga kepada penduduk yang tinggal di kampung di hilir,” kata Dr Sim.

Menyentuh mengenai pembinaan ban sungai berhampira­n MJC Batu Kawa, Dr Sim berkata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada mulanya memperuntu­kkan RM20 juta untuk projek itu dan meluluskan baki RM44 juta dalam kajian semula pertengaha­n penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kami akan meneruskan fasa pertama projek (dengan RM20 juta) dan proses tender dijangka bermula dalam tempoh satu atau dua bulan ini,” katanya.

Beliau menambah, bahagian atas ban sungai itu akan direka bentuk untuk memasukkan kawasan bagi aktiviti senaman dan rekreasi.

“Jika tidak, ia akan menjadi pembaziran selepas membelanja­kan kira-kira RM64 juta dan hanya untuk pencegahan banjir. Kita mahu orang ramai dapat joging atau berbasikal di atasnya.

“Apabila sudah siap, kawasan ini (Batu Kawa) tidak akan banjir lagi,” katanya lagi.

Dalam perkembang­an lain, Dr Sim turut mengutarak­an isu beberapa rumah kampung dibina secara haram di sepanjang rizab sungai di Batu Kawa dan Sungai Sarawak yang terdedah kepada banjir kilat.

Sehubungan itu, pada masa ini katanya, kerajaan negeri sedang berusaha untuk berunding dengan penduduk agar mereka berpindah ke projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang terletak berhampira­n Kampung Segedup, Batu Kawa.

Unit RMM untuk projek itu katanya, akan dibuka kepada orang ramai dengan keutamaan diberikan kepada mereka di bawah DUN N.8 Satok dan N.14 Batu Kawa.

“Projek perumahan ini bertujuan membolehka­n keluarga di kedua-dua kawasan itu tinggal bersama dan tidak berjauhan antara satu sama lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia