Utusan Borneo (Sarawak)

Warga emas rugi RM1.28 juta terperdaya pelaburan mata wang kripto

- — Bernama

JOHOR BAHRU: Seorang warga emas berputih mata apabila menanggung kerugian sebanyak RM1.28 juta selepas diperdaya pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang diiklankan menerusi media sosial.

Ketua Polis Johor CP M.Kumar berkata, lelaki berusia 61 tahun itu yang merupakan peniaga membuat laporan polis, di sini kelmarin.

Beliau berkata mangsa memaklumka­n berhubung dengan seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp dan diarahkan memuat turun satu aplikasi bagi memantau pelaburan dibuat.

“Mangsa telah membuat pembayaran ke beberapa akaun bank yang diarahkan individu tersebut, berjumlah RM1.28 juta sejak November lepas hingga Januari tahun ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Kumar warga emas itu tidak menerima sebarang keuntungan sehingga kini meskipun aplikasi terbabit memaparkan keuntungan lumayan, lalu membuat laporan polis selepas aplikasi itu gagal diakses.

Dalam kes lain, Kumar berkata seorang wanita warga emas kerugian RM390,000 selepas terperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud.

Beliau berkata pesara swasta berusia 65 tahun itu turut membuat laporan polis kelmarin, selepas tidak menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan itu.

“Mangsa memaklumka­n menerima panggilan daripada seorang individu yang menawarkan pelaburan saham dikenali sebagai ‘Fidelity’ dengan menjanjika­n 30 peratus keuntungan daripada jumlah pelaburan.

“Namun, sejak membuat pembayaran dari November lepas hingga Januari tahun ini, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan,” katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia