Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk

- KUALA TERENGGANU:

Kegembiraa­n empat sekeluarga berkelah di Pantai Batu Buruk di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas kira-kira jam 11.20 pagi semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Yusmizan Yusof berkata pihaknya menerima panggilan jam 11.31 pagi daripada pihak hotel, tempat mangsa bersama keluarga menginap.

Beliau berkata mangsa Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, berasal dari Kuala Lumpur hilang selepas dihanyutka­n ombak ketika bersiar-siar di tepi pantai.

“Seramai 13 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan kekuatan lima jentera dari BBP Kuala Terengganu digegaskan ke lokasi kejadian pada jam 11.32 pagi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan. Kejadian ini adalah yang pertama di Kuala Terengganu untuk tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Yusmizan berkata operasi SAR berdepan kesukaran disebabkan keadaan ombak tinggi dan arus deras.

“Usaha pencarian menggunaka­n teknik pencarian di permukaan pagi tadi gagal menemui mangsa. Kita akan teruskan pencarian di sekitar 20 meter dari pantai,” katanya.

Sementara itu isteri mangsa, Nora Elina Abdul Khalit, 44, berkata beliau bersama suami serta dua anak perempuan berusia sembilan dan 11 tahun tiba di Kuala Terengganu Jumaat lepas untuk bercuti.

Nora Elina berkata mereka mengambil kesempatan meluangkan masa berkelah di tepi Pantai Batu Buruk pagi semalam sebelum pulang ke Kuala Lumpur tengah hari esok.

Bagaimanap­un ketika asyik bermain pasir bersama anaknya, beliau mendapati suaminya sudah tiada di kawasan sekitar pantai.

“Tiba-tiba saya lihat kelibat suami di dalam air. Saya terus lempar pelampung dan berenang untuk menyelamat­kan suami. Bagaimanap­un ombak dan arus terlalu kuat. Saya terpaksa berpatah balik dan dapatkan bantuan daripada pihak hotel,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia