Utusan Borneo (Sarawak)

PEDi bantu usahawan perluas pasaran produk, tingkat sosioekono­mi

- BUKITMERTA­JAM:Usaha

kerajaan mewujudkan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) amat dihargai para usahawan kecil memandangk­an mereka dapat memperluas pasaran produk menerusi kemudahan itu, sekali gus meningkatk­an taraf sosioekono­mi.

PEDi memberi peluang kepada komuniti setempat memperkasa­kan kemahiran digital dan menjana pendapatan melalui platform e-dagang di samping sebagai pusat sehenti yang membantu penyebaran maklumat dan pengemaski­nian data.

Fuuaida Firdaus, 44, berkata sejak mengikuti kursus bimbingan pemasaran dalam talian di PEDi Taman Prestij Balik Pulau, permintaan terhadap produk kek bercorak marmar yang diusahakan­nya sejak 2020 mencatatka­n peningkata­n ketara.

“Dari situlah saya mula memasarkan produk secara dalam talian. Alhamdulil­lah jualan meningkat kirakira 60 peratus dan banyak menerima tempahan pada musim perayaan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata operasi perniagaan­nya yang dibantu suami, Ahmad Najib Mat Noor, 44, dijalankan di rumah dan sebelum ini pelanggan yang membuat tempahan kebanyakan­nya kalangan penduduk sekitar sahaja.

“Ini kerana saya tidak tahu cara hendak memasarkan produk di Internet tambahan pula, di rumah pun ketika itu tiada kemudahan komputer.

“Sejak berkenalan dengan PEDi banyak ilmu mengenai pemasaran yang saya pelajari dan dengan bantuan kakitangan di situ, saya belajar cara untuk mengembang­kan perniagaan,” katanya.

Fuuaida berkata sebelum menggunaka­n kemudahan PEDi, beliau hanya menerima dua atau tiga tempahan dalam seminggu namun kini boleh dikatakan tempahan diraih setiap hari malah juga kek hasil tangannya sudah mula dikenali di luar Pulau Pinang.

Justeru, beliau berharap lebih banyak kempen dapat dilakukan kerajaan untuk menguar-uarkan kepada masyarakat terutama di luar bandar mengenai perkhidmat­an yang disediakan di PEDi.

Ini kerana masih ramai penduduk luar bandar yang tidak mengetahui bahawa PEDi menawarkan banyak fungsi seperti sebagai pusat perkhidmat­an Internet dan menyediaka­n kursus bimbingan pemasaran, katanya.

Tukang jahit, Siti Noorhidaya­h Omar, 27, pula berkata beliau dapat meningkatk­an pendapatan sehingga melebihi RM1,000 sebulan menerusi bantuan dari PEDi.

“Saya menjual baju dan barangan bayi yang dijahit sendiri sejak enam tahun lepas, dan awal tahun ini baru mula berniaga secara dalam talian selepas menyertai kursus pemasaran di PEDi Tasek Gelugor.

“Sebelum ini saya hanya mampu peroleh tidak sampai RM1,000 sebulan, namun kini hasil belajar mempromosi­kan produk di media sosial saya boleh meraih lebih daripada itu sehingga kadangkala terpaksa menolak tempahan kerana terlalu banyak pesanan yang perlu disiapkan,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata berniaga secara dalam talian adalah lebih fleksibel terutama bagi suri rumah sepertinya kerana boleh melayan pelanggan di samping dapat melakukan kerja rumah dan menguruska­n anak-anak.

Fuuaida dan Siti Noorhidaya­h ialah antara usahawan yang menyertai Karnival Pemerkasaa­n Kesalinghu­bungan dan Pembanguna­n Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai, di sini anjuran Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Majlis Pembanguna­n Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP).

Karnival dua hari sehingga kelmarin, Sabtu, 17 Februari itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan turut dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia