Utusan Borneo (Sarawak)

JAS Kedah siasat punca pencemaran Sungai Kulim

-

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sedang menyiasat kejadian pencemaran di hulu Sungai Kulim yang dipercayai berpunca daripada aktiviti penternaka­n khinzir di perkampung­an Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah, dekat Pulau Pinang.

Pengarahny­a Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan pencemaran itu menerusi sistem ‘Notificati­on of Pollution Event’ (NPE) Tahap 1 pada jam 11 pagi, Jumaat lepas.

“Maklumat bacaan bagi parameter amoniakal nitrogen (NH3-N) yang direkodkan adalah 2.91152 miligram seliter (mg/L) dan melebihi had yang ditetapkan. Sehubungan itu, sepasukan pegawai penyiasat daripada Cawangan Kulim telah digerakkan bagi mengesan punca pencemaran.

“Semakan rekod inventori dan siasatan di lapangan meliputi kawasan hulu Sungai Kulim kemudianny­a telah dijalankan, dan hasilnya menemukan aliran air berwarna hitam dari Sungai Air Merah yang terletak bersempada­n antara Kedah-Pulau Pinang telah memasuki Sungai Kulim,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pasukan penyiasat kemudian telah menyusuri Sungai Air Merah dan melakukan pemantauan menggunaka­n dron di sepanjang sungai berkenaan.

“Pemantauan melalui dron di sepanjang Sungai Air Merah telah mengesan punca pelepasan air hitam itu yang disyaki berpunca daripada pelepasan efluen atau air sisa daripada aktiviti penternaka­n khinzir di perkampung­an Sungai Lembu.

“Pemeriksaa­n di sekitar kawasan penternaka­n khinzir menemukan beberapa kolam yang melepaskan efluen ke Sungai

Air Merah yang kemudianny­a memasuki Sungai Kulim. Jarak antara kawasan penternaka­n ke pertemuan Sungai Air Merah-Sungai Kulim adalah tiga kilometer (km),” katanya.

Menurut Sharifah Zakiah terdapat Loji Rawatan Air Toh Allang di Sungai Kulim (di Pulau Pinang) yang membekalka­n air bagi Pulau Pinang dan loji itu terletak kira-kira tujuh km dari pertemuan Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Beliau berkata hasil siasatan itu telah dimaklumka­n kepada JAS Pulau Pinang untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa di Pulau Pinang seperti Jabatan Veterinar dan Badan Kawal Selia Air.

“Semua pihak digesa untuk tidak melakukan pencemaran sungai kerana ia boleh menyebabka­n loji air ditutup dan menjejaska­n bekalan air,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia