Utusan Borneo (Sarawak)

KPDN tahan lelaki warga Thailand disyaki cuba seludup petrol

-

Padah mengubah suai tangki kenderaan untuk menikmati petrol subsidi, seorang warga Thailand ditahan Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak kelmarin.

Pengarahny­a Datuk Kamalludin Ismail berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamata­n (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu kira-kira jam 11.30 pagi.

Beliau berkata sepasukan anggota penguat kuasa KPDN memeriksa kereta jenis Toyota Camry bernombor pendaftara­n Malaysia dipandu lelaki itu ketika melalui pos sekatan jalan raya menuju ke Betong, Thailand.

“Pemeriksaa­n lanjut menemukan sebuah tangki tambahan di bahagian belakang kereta itu yang bersambung dengan tangki asal. Tangki tambahan itu berisi cecair disyaki minyak petrol,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Kamalludin pihaknya menyita 60 liter cecair disyaki minyak petrol bersama kenderaan berkenaan yang dianggarka­n berjumlah RM5,123.

Beliau berkata lelaki itu direman empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

KPDN Perak, katanya pada masa ini sedang giat menempatka­n anggota penguat kuasa di pintu masuk sempadan negara dalam usaha mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludup­an barangan kawalan dan bersubsidi.

“KPDN Perak akan terus komited dan konsisten menggerakk­an tindakan penguatkua­saan dan tidak akan sesekali berkomprom­i dalam menguatkua­sakan undang-undang di bawah KPDN khususnya melibatkan penyelewen­gan barang kawalan bersubsidi diesel,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia