Utusan Borneo (Sarawak)

NIOSH peruntuk RM12 juta sedia latihan bantu tangani isu kesihatan mental di tempat kerja

-

Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memperuntu­kkan sejumlah RM12 juta bagi menyediaka­n latihan secara percuma kepada 10,000 golongan pekerja menerusi program latihan Pertolonga­n Cemas Kesihatan Mental Pekerjaan tahun ini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata program yang julung kali diperkenal­kan di negara ini dengan sokongan Pusat Kecemerlan­gan Kesihatan Mental Negara itu bertujuan melatih individu berkeupaya­an memberikan intervensi awal terutama di tempat kerja kepada rakan sekerja yang menghadapi masalah kesihatan mental.

Beliau berkata ia juga merupakan salah satu usaha kementeria­n dalam meningkatk­an soal perlindung­an keselamata­n dan kesihatan pekerja, bukan sekadar dari aspek fizikal, tetapi juga merangkumi kesihatan mental.

“Ini juga soal menghapusk­an stigma masyarakat dan tempat kerja mengenai isu kesihatan mental, menerusi program ini kita nak bawa mesej, ‘it is okay to seek help’, dan saya percaya apabila kita wujudkan satu ekosistem pekerjaan yang kawal kesihatan mental pekerja, maka produktivi­ti jugak akan bertambah positif.

“Jadi saya harap selain penjawat awam, sektor swasta dan PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) juga boleh merebut peluang latihan percuma ini untuk mewujudkan persekitar­an kerja yang lebih kondusif, malah mereka (swasta, PMKS) boleh mendapat tuntutan levi daripada HRD Corp selepas selesai latihan ini yang diadakan selama tiga hari,” katanya kepada pemberita semalam.

Steven Sim berkata demikian selepas merasmikan Persidanga­n dan Pameran Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Kali ke-24 dan Persidanga­n Saintifik Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Kali ke-6 bertemakan ‘The Future of Work’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

NIOSH sebelum ini pernah memperkena­lkan beberapa inisiatif termasuk Program Bantuan Pekerja yang bertujuan membantu mengenal pasti dan menangani masalah kesihatan mental pekerja di peringkat awal agar prestasi kerja tidak terjejas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia