Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga maut ditembak ketika beri respons kepada panggilan keganasan domestik

-

Dua anggota polis dan seorang responden pertama telah ditembak mati selepas menjawab panggilan mengenai satu pergaduhan domestik dalam sebuah rumah dengan beberapa orang kanak-kanak di dalamnya di daerah Minnesota, AS kelmarin.

Penembak tersebut, yang masih belum dikenal pasti secara umum, telah meninggal dunia dan tujuh orang kanak-kanak – merangkumi dari usia dua hingga 15 tahun – semuanya berjaya diselamatk­an, demikian menurut pihak berkuasa daerah itu yang menolak untuk memberi maklumat tentang bagaimana penembak itu meninggal dunia.

Anggota polis yang terkorban, kedua-duanya berusia 27 tahun, dan seorang anggota paramedik jabatan bomba berusia 40 tahun telah ditembak ketika mereka memberikan respons kepada apa yang dikatakan oleh Gabenor Minnesota Tim Walz sebagai “satu panggilan mengenai sebuah keluarga yang berada dalam bahaya” dari sebuah kediaman di Burnsville, sebuah bandar di selatan Minneapoli­s.

”Ini sangat menyedihka­n,” Walz memberitah­u satu sidang media pada petang Ahad, disertai oleh beberapa pegawai awam yang lain.

Seorang pegawai lain ditembak semasa kejadian berbalas tembakan dan dimasukkan ke hospital dengan kecederaan yang tidak membahayak­an nyawa.

Pihak responden kecemasan menerima satu panggilan pada kira-kira jam 1.50 pagi waktu tempatan pada Ahad dari dalam sebuah rumah di Burnsville “di mana seorang lelaki telah dilaporkan sebagai bersenjata dan berlindung di sebalik anggota keluarga,” kata Drew Evans, pesuruhjay­a di Minnesota Bureau of Criminal Apprehensi­on.

Satu pertelagah­an berlaku ketika pihak berkuasa cuba berunding dengan individu itu, sehingga lelaki itu melepaskan tembakan dari dalam.

Salah seorang daripada anggota polis tersebut ditembak di dalam rumah, menurut Evans.

Beberapa jenis senjata telah ditemui di dalam rumah itu namun pihak polis tidak menyatakan sama ada ia adalah pistol atau raifal semi-automatik yang lebih kuat.

“Kami sedang dalam peringkat sangat awal dalam siasatan ini,” kata Evans.

Rakaman CBS News menunjukka­n sebuah kenderaan berperisai SWAT berada di tempat kejadian dengan sekurang-kurangnya tujuh lubang peluru pada cermin depannya.

“Pada hari ini tiga anggota pasukan kami telah membuat pengorbana­n yang sangat besar untuk komuniti. Mereka adalah wira,” Ketua Polis Burnsville Tanya Schwartz memberitah­u wartawan.

Kejadian tembakan adalah perkara biasa di Amerika Syarikat, di mana terdapat lebih banyak senjata berbanding penduduk dan kirakira satu pertiga daripada golongan dewasa memiliki senjata.

Pada Rabu di Missouri, sebuah wilayah Midwestern, seorang mangsa terbunuh dan 21 orang cedera apabila tembakan meletus ketika perarakan kemenangan Kansas City Chiefs’ Super Bowl.

Pada hari yang sama tiga anggota polis telah ditembak semasa berlaku ketegangan di bandar utama AS Washington. Mereka bagaimanap­un dijangka selamat, demikian menurut laporan media. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia