Utusan Borneo (Sarawak)

Kumpulan dari Eritrea bertelagah, empat polis cedera di The Hague

-

Sekurangku­rangnya empat anggota polis cedera apabila kumpulan-kumpulan dari Eritrea yang bertelagah, membakar beberapa buah kereta dan melontar batu di The Hague, awal pagi kelmarin.

Unit polis khas menembak gas pemedih mata ke arah pihak perusuh, yang menurut polis adalah kumpulanku­mpulan pro dan antikeraja­an Eritrea yang menghadiri satu pertemuan di The Hague.

“Ketika rusuhan, batu, bunga api, dan barang lain telah dilontar ke arah anggota polis dan briged bomba. Beberapa orang perusuh mempunyai senjata yang digunakan bagi memukul orang,” kata polis.

Para perusuh membakar dua buah kereta polis dan sebuah bas pesiaran. Ketika pertelagah­an, dua anggota polis mengalami kecederaan di bahagian tangan dan seorang lagi pada giginya. Seorang anggota yang keempat dilanggar sebuah kereta polis dalam kekecohan itu.

“Secara tiba-tiba, rakan setugas kami berdepan dengan keganasan yang sangat tegang dan serius,” kata komander polis Marielle van Vulpen.

Pihak polis telah membuat beberapa tangkapan dan meminta saksi atau mereka yang ada rakaman video tampil bagi membantu siasatan rusuhan tersebut.

“Keganasan yang digunakan terhadap anggota polis dan peralatan adalah menggerunk­an dan tidak boleh diterima,” kata datuk bandar Jan van Zanen.

Pemimpin haluan kanan antiimigre­sen Geert Wilders membuat kenyataan menerusi media sosial mengenai rusuhan itu dengan satu kapsyen berhuruf besar: “Arrest and Deport”.

Dia kemudian menulis dalam X, terdahulun­ya Twitter: “Belanda sudah sampai ke peringkat ini.”

“Kenapa separuh daripada dunia dibenarkan datang ke sini bagi memusnahka­n negara kami, berperang dalam kalangan mereka sendiri, melontar batu ke arah polis dan membakar kereta mereka?”

“Saya ingin menjadi perdana menteri yang akhirnya dapat membawa sedikit perubahan ke atas perkara sebegini,” tambah Wilders, yang memenangi pilihan raya pada November namun sedang berusaha untuk membentuk sebuah kerajaan pakatan.

Terdapat kira-kira 25,000 rakyat Eritrea tinggal di Belanda, menurut jumlah rasmi kerajaan.

Kumpulan pro dan antikeraja­an tersebut sebelum ini pernah bertelagah, termasuk pada tahun lepas apabila beberapa orang ditikam sebelum acara menyambut kemerdekaa­n Eritrea daripada Ethiopia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia