Utusan Borneo (Sarawak)

Khalwat: Buruh binaan individu pertama dihukum sebat

- KUALA TERENGGANU:

Seorang buruh binaan semalam menjadi pesalah khalwat pertama yang dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini di bawah Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Hakim Syarie Hamidi Shafie menjatuhi hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 selepas Mohd Affendi Awang, 42, mengaku bersalah.

Hamidi juga memerintah­kan Mohd Affendi dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintah­kan Mohd Affendi menjalani hukuman sebat dalam tempoh 14 hari jika tertuduh tidak mengemukak­an rayuan.

Mohd Affendi mengaku berada bersama seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang bukan isteri atau mahramnya antara 1.10 pagi hingga 2.15 pagi pada 25 Jan lepas di tingkat tiga sebuah premis kosong dalam proses baik pulih di Kemaman.

Hukuman sebat dikenakan ke atas lelaki itu kerana ini adalah kesalahan keduanya yang pernah dihukum bagi kesalahan sama pada Julai tahun lepas.

Berdasarka­n Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, bagi kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman sebat hingga enam kali, denda hingga RM5,000 atau penjara tiga tahun.

Dalam penghakima­nnya, Hamidi berkata hukuman itu bertujuan mendidik pesalah dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

“Sebab itulah sebatan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil jauh berbeza. Di Mahkamah Sivil pada zahirnya nampak azab sedangkan di Mahkamah Syariah (sebatan) jauh lebih ringan dengan harapan didikan daripada Allah itu sampai,” katanya.

Pendakwaan dikendalik­an oleh Pendakwa Syarie Muhamad Khasmizan Abdullah manakala Mohd Affendi tidak diwakili peguam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia